TELUK INTAN – Sepasang kembar tidak menyangka kelibat anak ular tedung selar yang sering muncul di belakang rumah mereka petanda terdapat seekor lagi ular tedung besar sepanjang tiga meter.

Malah kehadiran ular itu disedari ketika seorang daripada mereka Maizatul Mohd Kamal, 22, sedang memasak sekitar jam 11 pagi kelmarin.

Menurut Maizan Mohd Kamal, 22, dia dipanggil kembarnya Maizatul dan segera ke belakang rumah bagi melihat apa yang sedang dibuat bapa saudara mereka yang turut tinggal bersebelahan rumah mereka di Jalan Tebuk Haji Hamid, Kampung Selabak.

“Kami tanya pak cik dia cakap ada ular sawa jadi saya segera panggil ayah tetapi bila ayah keluar dan lihat ular tersebut keluar dari bersembunyi di pokok dia terkejut kerana itu ular tedung selar.

“Itu ular tedung paling besar kami pernah lihat sepanjang duduk di sini biasanya anak-anak ular tedung kecil sahaja dan kami percaya ia datang dari kebun kelapa sawit berhampiran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Tambahnya, ular tersebut kemudiannya masuk ke stor menyimpan barang lama di rumah jiran mereka dan dia bertindak menghubungi talian kecemasan 999 bagi mendapatkan bantuan menangkap ular berkenaan.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan  Awam Daerah Hilir Perak, Mohd Fazly Mohamad Zawawi berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.40 dan bergegas ke lokasi bagi menangkap ular tersebut.

“Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terpaksa mengambil masa lebih 20 minit sebelum menangkap ular tedung selar berkenaan kerana ia begitu agresif sebelum diserahkan kepada Jabatan Perhilitan,” katanya – sinar