TAPAH: Perjalanan seorang mahasiswa yang dipercayai hendak pulang beraya di kampung halaman tidak kesampaian apabila maut dalam sebuah kemalangan pada Ramadan terakhir di Kilometer 66, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur pada awal pagi Khamis.

Dalam kejadian sekitar 12.30 tengah malam itu, mangsa, Naqiuddin Mohd Najib, 21, yang memandu Perodua Viva dan merupakan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang bertembung dengan dua buah kenderaan lain sebelum disahkan maut di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Perak, Superintenden Ahmad Adnan Basri berkata kemalangan itu turut menyebabkan rakan mangsa yang berada dalam Perodua Viva dipandunya mengalami kecederaan parah.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Viva dipandu mangsa yang dalam perjalanan ke Sungkai telah hilang kawalan dan memasuki lorong bertentangan dan bergesel dengan Nissan Almera.

“Kenderaan mangsa itu kemudiannya bertembung bahagian hadapan kenderaan pacuan empat roda dan menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian,”katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Ahmad berkata, pemandu Nissan Almera tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu Triton dan seorang lagi penumpang mengalami kecederaan ringan.

Jelasnya, mayat mangsa telah diserahkan ke Hospital Tapah untuk tujuan bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.