MANJUNG – Hajat tiga lelaki untuk memecah masuk premis sarang burung walit tidak kesampaian apabila mereka ditangkap pihak polis ketika leka mengumpil bangunan berkenaan, sekitar jam 4 pagi, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung Deputi Superitendan Chong Bhoo Khim berkata, kejadian berkenaan disedari pemilik premis berkenaan selepas penggera keselamatan berbunyi.

“Pengusaha sarang burung tersebut kemudiannya menelefon polis  sebelum sepasukan anggota bergerak ke lokasi kejadian dan mendapati tiga lelaki berkenaan cuba melarikan diri menaiki kereta Kancil selepas menyedari kehadiran pihak polis.

“Hasil pemeriksaan ketiga-tiga suspek pihak merampas sebuah Perodua Kancil, segulung tali panjang, sebilah parang, sarung tangan, mesin pencanai, tukul besi dan gerudi,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, tengah hari tadi.

Menurut Bhoo Khim, kesemua suspek dipercayai mula bergiat aktif dalam kes pecah masuk sarang burung sejak tiga bulan lalu dan hasil soal siasat sehingga kini dapat menyelesaikan sebanyak lima kes pecah rumah sarang burung sekitar Manjung.

“Hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas semua suspek juga mendapati mereka positif dadah jenis Syabu dan kes disiasat di bawah Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan melakukan curi,” katanya.

Sementara itu dalam satu lagi kes berasingan, pihak polis juga menahan lima lagi remaja berusia lingkungan 14 hingga 16 tahun dipercayai terlibat dalam jenayah curi motosikal.

Bhoo Khim berkata, kesemua mereka ditangkap apabila pihak polis berjaya menahan suspek pertama berusia 14 tahun dalam Ops Lejang sekitar jam 6 petang 29 Jun lalu.

“Kita menahan remaja berkenaan di tepi jalan besar Taman Bintang, Pantai Remis dan hasil soal siasat remaja tersebut mengaku telah mencuri motosikal di kawasan Pantai Remis.

“Dia juga mengaku meleraikan komponen motosikal bersama empat lagi rakannya dan membuang rangka motosikal ke dalam kolam ikan di belakang rumah suspek,” katanya.

Tambahnya pihak polis juga berjaya menemui tiga rangka motosikal yang dibuang di dalam kolam ikan tersebut selain berjaya menyelesaikan tiga kes berkaitan kehilangan motosikal – sinar