BATU KURAU – Hajat seorang warga emas hendak memulakan perniagaan bersama isteri di tapak Pasar Pekan Selasa, di sini tidak kesampaian apabila mati mengejut dalam kejadian awal pagi tadi.

Md Puzi Saad, 61, yang berasal dari sini meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami serangan jantung dan sakit dada.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, lebih kurang jam 6 pagi, mangsa bersama isterinya sedang mengemas barang untuk memulakan perniagaan bersama isterinya di lokasi kejadian.

Menurutnya, mangsa kemudiannya mengadu sakit dada kepada isteri sebelum dipercayai jatuh terbaring secara mengejut dan tidak sedarkan diri di tapak niaga.

“Berikutan itu, isteri mangsa kemudiannya meminta bantuan peniaga lain untuk menghubungi ambulans bagi memeriksa keadaan mangsa.

“Hasil pemeriksaan lanjut pihak ambulans mendapati mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Osman berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Taiping untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian akibat serangan jantung dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya – Sinar harian