BUTTERWORTH: Belum sempat menikmati belaian manja si tukang urut, dua lelaki ditahan polis dalam serbuan di sebuah pusat urut di Jalan Limbungan Indah, di sini, malam tadi.

Dalam serbuan jam 7.55 malam itu, dua pelanggan berkenaan dikatakan sedang mendapatkan khidmat urut pekerja terbabit sebelum dikejutkan dengan kehadiran polis.

Serbuan Op Pintas itu dilakukan sepasukan polis bahagian Kongsi Gelap, Judi & Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPDSPU).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam serbuan itu pihaknya berjaya menyelamatkan tiga wanita warga Thailand yang juga pekerja di premis terbabit.

Menurutnya, tiga pekerja berusia 32 hingga 33 tahun itu didapati diperdagangkan untuk tujuan eksploitasi seks.

“Kita turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an yang juga penjaga premis dan dia ditahan mengikut Seksyen 12 dan Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

“Tiga wanita berkenaan pula dihantar ke rumah perlindungan manakala dua pelanggan ditahan di IPDSPU,” katanya.

Menurutnya, polis turut merampas wang tunai RM721, tiga tuala, tisu, botol minyak urut dan kondom.

“Kita akan sentiasa melakukan operasi berterusan untuk memerangi kegiatan tidak bermoral yang dilakukan di premis-premis pusat urut ini.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kegiatan seumpama ini boleh menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.

Difahamkan, premis pusat urut terbabit turut menawarkan khidmat seks kepada pelanggan dengan mengenakan bayaran tambahan – berita harian