HASRAT empat beranak menyambut Aidiladha bersama keluarga di kampung tidak kesampaian apabila dua daripada mereka maut, manakala seorang parah dan seorang lagi cedera, dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 31, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Gua Musang, hari ini.

Dalam kejadian 2.40 pagi, mangsa yang juga ibu dalam keluarga terbabit, Maslan Hassan, 55, dan anak perempuannya, Nur Fashiera Mohammad Rusdi, 25, maut, manakala pemandu Perodua Myvi, Muhammad Faiziel, 27 parah dan Nur Farrah Ezlyn, 22, patah pergelangan tangan.

Sebelum itu, dua beranak yang maut dipercayai tercampak keluar daripada kereta terbabit apabila kereta dipandu Muhammad Faiziel dipercayai hilang kawalan menyebabkan kereta itu terbabas sebelum terhumban ke dalam gaung.

Nur Farrah Ezlyn ketika ditemui di Hospital Gua Musang (HGM) berkata, mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Damansara, Kuala Lumpur untuk pulang menyambut Aidiladha di Kampung Rekang Hilir, Jelekang, Bachok ketika kejadian itu berlaku.

Katanya Muhammad Faiziel yang parah dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK), manakala dia dihantar ke HGM untuk rawatan.

Katanya, mereka terpaksa bertolak lewat iaitu pada hari raya pertama kerana terpaksa menunggu arwah Nur Fashiera habis kerja di butik.

“Saya tidak menyangka kejadian ini berlaku. Ketika kejadian, saya sedang tidur di tempat duduk belakang dan bila sedar, saya berada dalam ambulans ke HGM dan terasa sakit di tangan kanan.

“Saya tak tahu macam mana kejadian itu berlaku dan mendapat tahu ibu dan kakak meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di hospital,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taufik Maidin ketika dihubung mengesahkan kejadian berkenaan

Mayat mangsa dihantar ke HGM untuk bedah siasat dan polis masih menyiasat kejadian itu disiasat dibawah Sek. 41(1) APJ 1987 – hmetro