Oleh: Aida Aziz

“Dua kali saya dikejutkan dengan kehadiran ‘tali pinggang’ di kawasan yang sama sewaktu saya meredah hutan dan menebang pokok buluh untuk dijadikan lemang,” cerita Md. Azman Ali, seorang pencari buluh lemang.

DSC_0040-min‘Tali pinggang’ yang dimaksudkan beliau ialah haiwan berbisa iaitu ular yang sedang melingkar di sekitar pokok buluh, yang mana jika pencari buluh tidak berhati-hati, boleh mendatangkan mudarat kepada dirinya.

Namun begitu, peristiwa terserempak dengan haiwan berbisa yang juga dipanggil Tali Pinggang Nabi Sulaiman itu tidak membantutkan semangat si pencari buluh lemang tersebut untuk meneruskan pekerjaan sampingan di bulan Ramadan.

Md. Azman, 41, yang mempunyai pekerjaan tetap sebagai pemandu lori, memilih untuk mencari buluh dan menjual lemang sebaik sahaja Ramadan menjelang, bukan sahaja kerana pulangannya yang agak lumayan.

“Sebenarnya, keturunan saya memang terkenal dengan menjual lemang di Negeri Sembilan. Oleh itu, setelah berhijrah ke Perak, saya meneruskan legasi perniagaan lemang keluarga di Bemban, Batu Gajah,” ujarnya.

Kerja cari buluh ini kalau terima tempahan baru saya turun cari, kalau tidak saya hanya ambil untuk bekalan buat lemang saja,” katanya ketika ditemui Suara Perak di Pos Slim, iaitu kawasan hutan di sepanjang jalan menghala ke Cameron Higlands, Pahang.

Buluh Dinding Menjadi Lemang

Rutin seorang pencari buluh lemang seperti Md. Azman bermula seawal jam lapan pagi. Dengan ditemani rakannya Mohamad Azli Aziz, 41, beliau memulakan perjalanan dari Batu Gajah ke Jalan Tapah-Cameron Highlands bagi mendapatkan bekalan buluh.

Jika ada kawasan hutan yang sesuai, maka dia perlu mendapatkan kebenaran dari penduduk sekitar, kebiasaannya masyarakat Orang Asli.

“Kita tak boleh terus redah dan tebang pokok buluh. Kena tanya dahulu sama ada tanah itu ada tuan atau tidak.

“Selalunya saya minta izin pada Orang Asli di sini, mereka tak kisah asalkan kita bersihkan semula sisa-sisa pokok yang sudah ditebang,” kata Md. Azman yang memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 seminggu dengan menjual lemang.
Beliau menjelaskan, tidak semua jenis buluh boleh digunakan untuk membuat lemang.

“Hanya buluh tertentu sesuai dijadikan lemang dan ia bergantung kepada tahap ketebalan dan ketahanan buluh tersebut. Pilihan saya selalunya buluh dinding.

“Setengah buluh hanya sesuai untuk buat meriam buluh, ada juga hanya untuk kuih Kelamai. Pengalaman selama ini banyak membantu saya memilih buluh terbaik,” katanya.

Lemang Katil RM5

Di samping mencari buluh, Azman turut menjual lemang di Batu Gajah yang popular dengan jolokan lemang katil. Harga sebatang lemang katil dijual dengan harga paling rendah iaitu RM5.

Gelaran lemang katil diperolehi ekoran proses membakar lemang di gerainya yang unik iaitu menggunakan katil besi sebagai pembakar lemang.

“Saya gunakan katil sebagai tempat membakar kerana lebih mudah dan tidak mengotorkan kawasan sekitar, selain mudah diangkut ke mana-mana,” ujarnya.

Berkaitan harga lemang RM5, Md. Azman menyatakan, pada mulanya ramai yang tidak percaya disebabkan terlalu murah berbanding harga pasaran.

“Niat saya hanya satu iaitu mahu orang yang kurang berkemampuan untuk nikmati lemang di Hari Raya. Ada yang tanya saya berkali-kali sebab tidak percaya dengan harganya. Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan daripada orang ramai,” katanya seraya tersenyum.

Bagi Mohamad Azli pula, cabaran mencari buluh sememangnya setimpal dengan pulangan yang diperoleh, tambahan pula tidak ramai yang sanggup meredah hutan belantara semasa sedang berpuasa.

“Kalau Azman perlukan bantuan, saya akan ikut dia ke hutan dan tolong apa yang patut. Kami bergerak waktu pagi untuk mengelakkan terlalu penat kerana kerja tebang buluh ini menggunakan banyak kudrat,” kata beliau.

DSC_0042-min