TAIPING – Penantian orang ramai untuk mengunjungi Taman Botani Perak di sini sejak dua tahun lalu berakhir apabila premis itu akan mula dibuka kepada pengunjung pada awal bulan Disember ini.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Datuk Abdul Rahim Md Ariff berkata, pembinaan Taman Botani Perak di sekitar kawasan Taman Tasik Taiping di sini sejak tahun 2016 akhirnya akan dibuka bagi tujuan penyelidikan, konservasi saintifik, pendidikan dan rekreasi awam.

Menurutnya, taman itu merupakan Taman Botani Negara yang ketiga oleh Jabatan Landskap Negara setelah kewujudan Taman Botani Johor dan Taman Botani Sarawak.

“Taman Botani Perak ini terletak di Mukim Tupai, Daerah Larut dan Matang dengan keluasan sebanyak 56.5 ekar.

“Taman Botani Perak merupakan sebahagian daripada rizab kawasan lapang Taman Tasik Taiping di mana pembinaannya meliputi tiga fasa dengan kos keseluruhan RM30 juta,” katanya kepada media di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, terdapat 13 laman yang menjadi keutamaan dalam cadangan pembangunan ini.

Beliau menegaskan laman tersebut adalah Laman Perakensis, Laman Melayu Perak, Laman Endemik Zon Utara, Laman Ferneri, Laman Orkidarium, Laman Wetland, Laman Palmatum, Laman Bambusetum, Laman Zingiberium, Laman Ridzuani, Laman Etnobotani, Laman Aroid dan Laman Buah-Buahan Nadir.

“Selain daripada 13 laman ini, komponen utama lain adalah seperti Dataran Botani, Dataran Orkid, Dataran Palma, Laman Tema, Laman Keramaian dan banyak lagi komponen-komponen yang menarik bagi keperluan dan kemudahan pengunjung,” katanya.

Abdul Rahim berkata, lokasi Taman Botani Perak amat strategik untuk tumpuan pelancong kerana dikelilingi dengan pelbagai tempat pelancongan terkenal seperti Bukit Larut, Taman Tasik Taiping, Zoo Taiping dan banyak lagi tarikan lain.

Selain itu, beliau menegaskan taman itu mempunyai kualiti visual menarik kerana kedudukannya berlatarbelakangkan pemandangan Bukit Larut dan Banjaran Bintang

“Selain itu, ia dibangunkan dengan mempunyai keunikan dan keistimewaan tersendiri dengan Tema Warisan berpaksikan empat fungsi utama iaitu pemuliharaan, penyelidikan, pendidikan dan rekreasi,” katanya.

Abdul Rahim berkata, taman botani itu turut menerapkan konsep Muzium Hidup Tumbuhan ditafsirkan sebagai satu arkib mengumpul dan mempamerkan pelbagai koleksi tumbuhan yang mempunyai nilai estetik dan saintifik tersendiri.

Menurutnya, spesies-spesies koleksi tumbuhan di sini menonjolkan keunikan, keindahan dan kekayaan alam semulajadi negeri Perak.

“Pembinaan fasa pertama Taman Botani Perak kini siap 99 peratus dan dijangka berakhir pada 16 November 2018. Keluasan bagi fasa pertama adalah seluas 14.1 ekar membabitkan kos RM 10 juta.

“Pembinaan projek bagi fasa pertama itu melibatkan infrastruktur asas seperti jalan (Avenue), tandas awam, tempat letak kereta dan pembangunan beberapa laman utama seperti Laman Endemik Zon Utara dan Laman Melayu Perak.

“Selain itu, terdapat beberapa laman lain turut dibangunkan seperti Laman Palmatum yang menempatkan spesies-spesies tumbuhan dari keluarga Palma, Laman Tema yang berfungsi sebagai mini Taman Botani Perak yang mengumpulkan koleksi tumbuhan dari 13 laman dan Laman Keramaian yang boleh memuatkan kira-kira 500 orang dalam satu-satu acara keramaian,” katanya.

Abdul Rahim berkata, secara keseluruhan, terdapat 120 spesies dengan jumlah pokok ditanam dalam fasa pertama ini meliputi hampir 10,000 ribu pokok – sinar