TAIPING: Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry berharap pelaksanaan Taman Botani di Taman Tasik Taiping yang menelan kos bernilai RM50 juta dapat menaikkan Taiping sehingga ke peringkat antarabangsa.

Menurut beliau, projek seluas 22.86 hektar yang melibatkan kos berjumlah RM10 juta bagi fasa pertama, merupakan inisiatif antara Jabatan Lanskap Negara dan Majlis Perbandaran Taiping (MPT).
Justeru itu, beliau menggesa agar projek bernilai puluhan juta ringgit itu dilaksanakan secara sistematik dan mampu melonjakkan Taman Botani sebagai tarikan eko – pelancongan, bukan sahaja di peringkat Asia, malah dikenali di seluruh dunia.

“Saya telah melihat pelan dan struktur itu berkali-kali dan saya yakin bahawa melalui perbelanjaan besar yang diperuntukkan, ianya wajar menjadi satu lokasi ikonik bagi pelancong dalam dan luar negara.

“Saya tidak ingin melihat keseluruhan projek yang mempunyai pelbagai fasa ini dilakukan secara ala kadar…buat betul-betul, agar ianya berbaloi dan pusat flora fauna ini akan menjadi kebanggaan Perak di seluruh dunia,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Restoran Mergastua di Zoo Taiping dan Night Safari di sini, pada Rabu.

 


Dr Zambry berkata, buat masa ini, sebanyak RM200,000 telah diperuntukkan bagi membaikpulih lampu-lampu jalan serta papan tanda sepanjang 3 kilometer di sekitar kaki Bukit Larut berhampiran taman tersebut.

Projek pembinaan Taman Botani yang akan dilaksanakan dalam tempoh tujuh tahun itu akan menonjolkan variasi pokok herba, flora dan fauna selain penanaman pokok bersejarah seperti pokok Ipoh, Kamunting dan Kulim.