IPOH: Perak mencipta sejarahnya tersendiri apabila menjadi negeri pertama di Malaysia mendaftarkan Taman Negeri Royal Belum sebagai tapak pemulihan dan pemuliharaan harimau utama untuk Pemuliharaan Konservasi/Standard Harimau (CA/TS).

Komitmen dari Perbadanan Taman Negeri Perak yang bertanggungjawab menguruskan Taman Negeri Royal Belum sebagai menyokong usaha pemuliharaan harimau juga berjaya meletakkan Malaysia sebagai negara pertama di Asia Tenggara melaksanakan CA/TS.

Menurut Pengarah Eksekutif World Wide Fund WWF) Malaysia, Datuk Dr. Dionsyius S.K. Sharma, ia merupakan langkah besar ke arah mewujudkan kesan pemuliharaan jangka panjang untuk harimau Malaya.

“Sebagai laman pemulihan harimau pertama di Asia Tenggara menjadi CA/TS, kami yakin usaha pemuliharaan berterusan di Belum-Temengor akan lebih kukuh selain menghantar mesej kepada dunia komitmen untuk melindungi harimau mereka,” katanya di Sambutan Hari Harimau Sedunia di Bulatan Aman Jaya, Meru Raya, di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria, Pengerusi Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin, dan Timbalan Ketua Setiausaha (Alam Sekitar) Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr. Azimuddin Bahari.

Jelasnya walaupun populasi harimau global sedikit meningkat kepada 3,890, namun anggaran populasi harimau Malaya menurun sehingga 250 daripada 500 pada tahun 2003.

Bagi pihak kerajaan negeri, Muhammad Amin bin Zakaria mengulangi janji kerajaan untuk memperjuangkan spesis harimau Malaya.

“Ini adalah satu keistimewaan dan tanggungjawab untuk memelihara harimau Malaya di negeri Perak, sungguh menyedihkan kerana harimau kita masih terancam, walaupun terdapat usaha yang diambil untuk melindungi mereka.

“Pemuliharaan harimau adalah keutamaan negara, dan langkah mendaftarkan Royal Belum State Park di bawah CA /TS adalah bukti komitmen kami khususnya dalam menangani perdagangan haram dan perdagangan haram liar,” katanya.