BAGAN DATUK: Taman Perindustrian Bagan Datuk di sini dijangka mampu menarik pelaburan antara RM44 bilion hingga RM52 bilion (US$10 – US$12 bilion).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pembangunan kawasan perindustrian itu akan dilaksanakan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).

Menurut beliau, ia akan melibatkan tebus guna tanah seluas 1,375.9 hektar yang dijangka bermula sebelum akhir 2017 dengan tempoh pembangunan antara 10 dan 15 tahun.

“Semoga projek ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan apabila siap kelak, ia mampu menyediakan antara 18,000 dan 20,000 peluang pekerjaan,” katanya ketika berucap di majlis pengisytiharan daerah baharu Bagan Datuk yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini pada Isnin.

Dr Zambry memberitahu, kerajaan negeri telah menandatangani konsesi kerja-kerja tebus tanah dengan PKNP pada akhir tahun lalu.

Katanya, sesuai dengan status Bagan Datuk sebagai daerah penuh, kerajaan negeri akan melaksanakan beberapa projek berimpak tinggi, termasuk pusat pentadbiran baharu di kawasan seluas 1,618.7 hektar.

Selain itu, kata beliau, pembangunan dan menaik taraf jeti serta dataran komuniti Bagan Datuk juga akan dijalankan bagi meningkatkan pembangunan ekonomi melalui pelancongan.

Menurut beliau, kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM1.3 bilion di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bagi 11 projek yang kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan di Bagan Datuk, antaranya Politeknik Bagan Datuk dengan kos RM220 juta.

Beliau menambah, projek-projek lain ialah Perumahan Rakyat Bagan Datuk (RM79.77 juta); Ibu Pejabat Polis Daerah Bagan Datuk (RM134 juta); Kompleks Sukan Bagan Datuk (RM31 juta) dan penempatan semula Pusat Giatmara Bagan Datuk dengan kos RM7.78 juta akan turut dilaksanakan.

Bagan Datuk merupakan daerah ke-12 di Perak selepas Kinta, Larut Matang dan Selama, Manjung, Hilir Perak, Kerian, Batang Padang, Kuala Kangsar, Perak Tengah, Hulu Perak, Kampar serta Muallim.