BUKIT MERAH: Taman Tema Air Bukit Merah Laketown Resort (BMLR), akan ditutup sementara selama dua bulan bagi kerja-kerja penambahan beberapa tarikan terbaru dan juga penambahbaikan kawasan taman tema air itu.

Ketua Operasi Kumpulan Resort, Mohamad Mukhriz Mohamad Roslan, berkata keputusan itu dibuat bagi melancarkan kerja-kerja penambahan dan pemasangan beberapa jenis permainan baharu yang bakal dijalankan bermula 18 September hingga 30 November 2018.

Menurutnya, projek itu membabitkan pertambahan beberapa jenis ‘slide‘ (gelongsor) air baharu seperti Mini Tornado Slide dan Race Slides.

Beliau berkata, pada masa sama, kerja-kerja penambahbaikan turut dijalankan di dalam kawasan taman tema air berkenaan yang membabitkan pembaharuan di seluruh bahagian permainan kanak-kanak iaitu Kembara Rimba Air dan ‘Perak Mining‘.

‘Kita harapkan projek ini bakal menjadi tarikan baharu bagi Taman Tema Air BMLR yang sudah beroperasi sejak 21 tahun lalu sekaligus menarik kehadiran lebih ramai pengunjung ke sini.

“Kita juga bakal mengadakan tawaran hebat bermula dari hari pembukaan semula taman tema berkenaan dan berlanjutan dalam tempoh sebulan sebagai langkah mempromosikannya kepada orang ramai,“ katanya.

Bagaimanapun, ujarnya, tarikan lain seperti penginapan di Kampung Air serta Laketown Hotel, Taman Eko dan Pulau Orang Utan kekal beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh penutupan berkenaan.