PASIR SALAK: Konsesi BERNAS sebagai pengimport tunggal beras negara akan ditamatkan sekiranya didapati tidak mematuhi perjanjian untuk membantu membela nasib dan memajukan masyarakat petani di negara ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman ketika memberi amaran itu berkata, beliau sendiri akan mengambil perhatian dan membawa perkara ini kepada pihak menteri untuk melihat apakah tindakan yang boleh diambil terhadap syarikat berkenaan.

Menurut beliau, BERNAS sebelum ini telahpun memberikan perakuan dan berjanji untuk membantu membela nasib masyarakat petani.

Malangnya, kata beliau, apa yang berlaku sekarang seperti mereka tidak membantu, malah menyusahkan petani dan kerajaan tidak akan membiarkannya terus berlaku.

“BERNAS diberi konsesi sebagai pengimport tunggal beras kerana mereka telah memberi perakuan dan berjanji kepada kerajaan bahawa mereka akan membantu dan membela nasib petani di samping memajukan masyarakat petani, itu janji mereka.

“Kita nak tuntut janji daripada BERNAS, bagi saya kalau mereka tidak dapat memenuhi janji ini, obligasi ini, syarat ini, elok kita tamatkan sahaja konsesi itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pelancaran Kelab Usahawan Sahabat Amanah Ikhtiar Pasir Salak (KuPAS) di Dewan Besar FELCRA Changkat Lada, Pasir Salak pada Sabtu. Hadir sama Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia Datuk Dr Zubir Harun.

Tajudin berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir baru-baru ini yang meminta kerajaan Persekutuan menangguhkan pelaksanaan pemutuan sebenar padi di negeri Perak sehingga kajian semula terhadap keberkesanannya dilaksanakan.

Ini berikutan aduan diterima oleh kerajaan negeri menerusi 18 buah pertubuhan peladang kawasan (ppk) di negeri ini yang mewakili lebih 17,652 ahli membabitkan 41,832.67 hektar kawasan tanaman padi.

Dr Zambry berkata, rungutan disuarakan mereka apabila melibatkan kadar potongan belian padi yang terlalu tinggi oleh pihak BERNAS dan pengilang-pengilang swasta bagi musim kedua tahun 2016, sehingga mencecah 22 – 60 peratus.