IPOH – Kerajaan Perak mengharapkan Kementerian Kesihatan memberi lebih banyak kelulusan kepada pusat perubatan swasta untuk mengendalikan ujian mamogram.

Exco Kesejahteraan Sosial, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Masyarakat Perak, Wong May Ing berkata, di Perak hanya ada dua tempat yang menjalankan ujian mamogram iaitu di BP Healtcare Lab, di sini dan Anson Bay Hospital Teluk Intan.

Katanya, individu yang berdaftar dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) untuk menjalani ujian itu berdepan masalah kerana jarak yang jauh.

“Kita berharap Kementerian Kesihatan dapat melantik lebih banyak hospital swasta di negeri ini untuk menjalankan ujian mamogram ini bagi memudahkan pesakit mendapatkan perkhidmatan itu.

“Jika kementerian bersetuju, kita nak tambah di Ipoh, Manjung dan Taiping bagi ujian mamogram ini,” katanya ketika sidang media berkaitan Hari Kesihatan Keluarga Sepanjang Tahun 2019, di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

May Ing berkata, setakat ini pihaknya bersama-sama ADUN-ADUN kerajaan mengeluarkan peruntukan sendiri untuk menampung kos pengangkutan untuk mereka yang ingin melakukan ujian tersebut.

Sementara itu, mengenai Hari Kesihatan Keluarga Sepanjang Tahun 2019, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Perak Community Specialist Hospital (PCSH) bagi penganjuran tersebut bermula 21 April hingga 24 November di empat lokasi.

Katanya, pada program itu akan diadakan pemeriksaan kesihatan percuma seperti pemeriksaan tekanan darah, ujian glukosa, kaunseling dietetik, pemeriksaan kulit kepala dan sebagainya.

“Bagi golongan wanita pula, saringan pap-smear dan mamogram juga akan disediakan secara percuma. Kami juga mendapat kerjasama daripada Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mengadakan kempen derma darah.

“Saya berharap dengan program secara tahunan ini akan dapat memberikan pengetahuan, memupuk dan meningkatkan kesedaran terhadap tabiat baik penjagaan kesihatan,” katanya.

Menurut May Ing, program pertama akan diadakan di pusat membeli belah AEON Station 18, di sini bermula jam 10 pagi hingga 5 petang.

Hadir sama pada sidang media itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan PCSH, Juliet Choo dan Eksekutif Perhubungan Awam dan Kebajikan PCSH, Wong Kar Khan – sinar harian