IPOH: Rumah perlindungan dan pemulihan gadis-gadis yang terlanjur wajar diperbanyakkan di negeri ini bagi mengelakkan kes pembuangan bayi berleluasa.

Menurut ahli Dewan Belia Perak, Mohd Adri Adha Mohamad, cadangan itu bersesuaian dengan konsep yang diketengahkan oleh Rumah Kita di Pandan Jaya.

“Statistik daripada Kementerian Kesihatan pada tahun lalu mendedahkan sebanyak 3,980 peratus daripada 13,831 remaja berusia 10 tahun hingga 19 tahun mengandung anak luar nikah.

“Walaupun sudah ada pusat perlindungan seperti di Taman Seri Puteri Batu Gajah namun dengan statistik yang ada didapati ianya tidak mencukupi. Maka saya ingin mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk perbanyakkan rumah perlindungan sebegini,” katanya semasa sesi perbahasan di Persidangan Dewan Belia Perak pada Ahad.

Jelasnya, kes pembuangan bayi yang semakin meruncing juga menjadi salah satu penyebab mengapa masalah ini perlu dipandang serius.

“Kita tidak mahu generasi yang mendatang jadi generasi yang kejam dengan kes-kes seperti ini. Rumah ini diwujudkan untuk memberi perlindungan ketika mereka tidak diterima masyarakat mahupun keluarga atas alasan mahu menjaga nama baik dan maruah.

“Niatnya bukan untuk menggalak kes hamil anak luar nikah tetapi mahu menyelamatkan mereka yang teraniaya, selain mahu mengambil tanggungjawab bagi melindungi anak yang tidak berdosa,” ujarnya.

Dalam pada itu Mohd Adri turut menjelaskan beliau akan membuka sebuah pusat perlindungan di Parit Buntar yang akan berkonsepkan acuan Rumah Kita.

“Oleh itu saya menjemput mana-mana jabatan atau agensi untuk kita bersama jayakan usaha ini, bukan untuk mendapat sebarang ganjaran atau sebagainya tetapi kita lakukan ini sebagai khalifah dan da’i di muka bumi ini,” katanya.