Kemudahan bot penumpang di Taman Rekreasi Gunung Lang telah ditambah kepada satu lagi unit menjadikannya empat unit kesemuanya.

Penambahan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) itu bertujuan memberi keselesaan kepada orang ramai yang berkunjung ke taman rekreasi tumpuan itu berikutan peningkatan jumlah pengunjung yang direkodkan saban hari.

d346190f-8ee6-4b54-bdff-1395576dbe75

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Rusnah Kassim berkata panambahan bot baru itu dibuat bagi menampung permintaan tinggi pengunjung.

Katanya bot bernilai RM219,000 itu lebih besar dengan kapasiti  mengangkut 40 pengunjung pada satu masa berbanding tiga bot sedia yang hanya boleh memuat 20 penumpang sahaja.

“Dengan bot besar ini ia boleh menampung lebih ramai penumpang. Penambahan ini wajar memandangkah jumlah pengunjung ke Gunung Lang begitu tinggi iaitu 3,000 pada hari biasa manakala 6,000 pada hujung minggu dan cuti panjang. Kita harap penambahan kemudahan bot dapat merancakkan lagi aktiviti pelancongan di kawasan ini,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran bot itu pagi tadi yang turut dihadiri Datuk Bandar, Datuk Zamri Man.

Tambah Rusnah kerajaan negeri amat berpuas hati dengan penambahbaikan taman rekreasi termasuklah tarikan tarikan hijau hasil daripada pokok-pokok yang hidup subur serta matang di situ.

“Pokok-pokok yang telah matang ini menambahkan lagi kecantikan taman ini manakala air tasik ini pula sangat cantik. Keadaan ini menjadikan Gunung Lang lebih menarik berbanding tahun 1999 ketika saya mula datang ke sini,” Rusnah berkata.

Beliau juga turut mengusulkan penambahbaikan supaya pokok bunga kertas dengan pelbagai warna ditanam di sepanjang tebing tasik laluan bot, sesuai dengan nama Bandaraya Ipoh bandaraya Bougainvillea.

“Kombinasi warna bunga pokok bunga kertas yang pelbagai digandingkan dengan kehijauan air tasik itu akan menyerlahkan lagi keindahan dan tarikan Gunung Lang ini.

“Ia seakan menyerupai keindahan kawasan pelancongan yang terkenal di China iaitu Guilin yang terkenal dengan landskap batu kapur,” tambah Rusnah.

Sementara itu Datuk Bandar Ipoh Datuk Zamri Man berkata kapasiti bot itu adalah untuk memenuhi keperluan semasa pelancong yang menaiki bas.

“Sebelum ini kebanyakan pengunjung datang berkereta tetapi apabila ia menjadi semakin popular tempat ini kini menjadi lokasi persinggahan bas-bas yang membawa pelancong sejak 2016.

“Maka kita dapati adalah lebih efisien untuk menawarkan bot yang boleh memuatkan keseluruhan rombongan yang menaiki bas pada satu masa,” katanya.

Zamri berkata dengan promosi yang dijalankan dan kemudahan prasarana yang lebih selesa, MBI yakin lebih banyak bas pelancong akan menjadikan taman rekreasi ini sebagai hentian wajib apabila berada di Ipoh.

Tidak mengabaikan aspek keselamatan, Zamri berkata penggunaan jaket keselamatan diwajibkan pada pengunjung selain pemandu-pemandu bot yang bertauliah yang mengetahui selok belok laluan.

Katanya kakitangan juga ditugakan untuk menjaga pergerakan   keluar masuk kenderaan dan kawasan parkir yang teratur.

Zamri berkata perancangan juga sudah dibuat bagi menambah empat lagi bot dalam tempoh jangka masa berperingkat-peringkat di masa hadapan.