BAGAN DATUK – Tan Chong Motor Holdings Berhad (Tan Chong Motor) melabur RM500 juta bagi projek hab automatif dan kenderaan komersial melibatkan kawasan seluas 138 hektar di kawasan Parlimen ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, projek yang bakal dimulakan bulan ini membuktikan bahawa segala apa yang diumumkan beliau sebelum ini bukanlah cakap kosong.

“Alhamdulillah hari ini kita dapat menyaksikan perjanjian jual beli tanah antara Tan Chong dengan Sime Darby Plantation bagi mewujudkan projek ini yang bakal mengubah landskap Bagan Datuk.

“Apabila projek ini siap kelak ia akan menyediakan 4,000 peluang pekerjaan buat anak-anak tempatan di Bagan Datuk khususnya,” katanya pada sidang media Projek Hab Automotif & Kenderaan Komersial Tan Chong di Bagan Datuk Perak, di Bangunan Umno Bagan Datuk, di Hutan Melintang, semalam.

Sementara itu, Presiden Tan Chong Motor, Datuk Tan Heng Chew berkata, selain hab automotif, projek ini juga merupakan pelan perniagaan strategik Tan Chong bagi memperlihatkan komitmen kumpulan syarikat berkenaan terhadap pertumbuhan perindustrian dan ekonomi negara serta Bagan Datuk.

Tambah beliau, sebagai permulaan, kira-kira RM100 juta akan disalurkan untuk pembelian tanah dan pembinaan Loji Pemasangan Bas dan Lori Fasa 1 selain kerja-kerja pemasangan yang bakal bermula sebaik sahaja kerja-kerja pembinaan selesai.

“Selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu, projek ini juga bakal menarik pelaburan baharu yang secara tidak langsung merangsangkan lagi ekonomi Bagan Datuk.

“Tambahan pula, Bagan Datuk juga akan dimajukan menjadi salah satu Kawasan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) hasil daripada projek ini,” katanya.

Katanya lagi, Tan Chong Motor kini mengesport bas-bas keluarannya ke Singapura, Hong Kong dan Burma di samping meneroka pasaran berpotensi di rantau ini termasuk Thailand, Sri Langka, Vietnam dan Indonesia – sinar

BERITA BERKENAANApa Ahli Parlimen Sungai Siput buat 10 tahun? – PM Najib