PERMAISURI: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mahu Terengganu mencari kaedah paling berkesan untuk melestarikan alam sekitar, khususnya Tanah Bencah Setiu yang menjadi antara ekosistem amat bernilai di negeri ini.

Baginda bertitah, Tanah Bencah Setiu bukan sahaja mampu menjadi habitat sesuai kepada biodiversiti hidupan flora dan fauna tetapi juga dapat menjana pendapatan penduduk setempat, selain menjadi produk pelancongan yang boleh diketengahkan di persada dunia.

“Tanah bencah ini mampu menjadi penebat kepada bencana alam tertentu, meminimumkan risiko banjir dan kemarau serta membantu memberi perlindungan daripada bencana cuaca ekstrem.

“Justeru, beta harap Terengganu dapat mencari kaedah paling efektif dan proaktif dalam memberi manfaat semaksimum mungkin kepada komuniti setempat.

“Beta percaya, komuniti setempat boleh menyediakan perkhidmatan pelancongan bersesuaian seperti aktiviti menyusuri sungai, lawatan ke sangkar ikan, melihat habitat tuntung dan penyu, selain aktiviti pemerhatian burung, flora dan fauna.

“Beta harap Terengganu akan lebih terkenal bukan sahaja sebagai destinasi pantai dan pulau, seni, budaya dan warisan, malah sebagai destinasi ekopelancongan terunggul di rantau ini,” titah baginda pada Majlis Pelancaran Boardwalk Setiu di Pengkalan Gelap di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.

Dalam pada itu, PETRONAS memperuntukkan RM8 juta untuk Program Pemuliharaan Ekosistem dan Pelancongan Tanah Bencah Setiu dalam usaha meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan berkenaan.

Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Sidek Hassan, berkata Setiu Boardwalk adalah antara komitmen PETRONAS dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar yang dijalankan kerajaan negeri.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak RM6 juta digunakan untuk menaik taraf fasiliti di tanah bencah berkenaan seperti sebuah jeti nelayan di Kampung Gong Batu dan empat jeti terapung dari Kampung Mangkok ke Gong Batu.

Selain itu, sebuah jeti pelancongan dan sebuah pusat penerangan mini di Kampung Mangkok yang dilengkapi pondok penerangan kraftangan, kios penjualan tiket, tandas dan bilik mesyuarat.

“Baki RM2 juta lagi diperuntukkan untuk program pembangunan produk dan sumber manusia dari enam komuniti setempat di kawasan terbabit.

“Program ini dijalankan melalui kerjasama Pejabat Daerah Setiu dengan objektif membanteras kemiskinan jangka panjang melalui kepelbagaian sumber pendapatan,” katanya.

Beliau berkata, PETRONAS turut membantu menyediakan peluang bagi meningkatkan pendapatan melalui penyertaan dalam sektor pelancongan.

Katanya, melalui inisiatif ini, peserta terpilih akan menyertai program pembangunan sumber manusia seperti bengkel keusahawanan dan kraftangan serta kursus pemandu bot pelancong – berita harian