KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara mengesahkan sudah menerima kertas siasatan berhubung kes pemindahan tanah milik FELDA dekat Jalan Semarak di sini.

Namun, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, menegaskan yang siasatan dijalankan polis terhadap kes terbabit belum selesai.

“Saya mengesahkan kertas siasatan terhadap tanah FELDA itu sudah diterima tetapi mesti membetulkan persepsi bahawa penyiasatan itu sudah selesai. Lambat lagi.

“Kertas siasatan itu dirujuk kepada kami untuk mendapatkan arahan tertentu lebih terperinci, yang tidak dapat saya dedahkan.

“Adalah tidak tepat untuk menyatakan polis menunggu arahan kami sama ada untuk membuat pertuduhan atau sebaliknya, sedangkan siasatan masih berjalan dan belum lagi lengkap,” katanya dalam satu kenyataan media, malam ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun, berkata pihaknya menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sudah menyerahkan kertas siasatan kepada pejabat Peguam Negara.

Fuzi dilaporkan berkata, kertas siasatan terbabit sepatutnya diserahkan minggu lalu namun ditangguhkan akibat masalah teknikal.

Pada 5 Januari lalu, bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, adalah antara sembilan individu dipanggil memberi keterangan kepada JSJK, berhubung isu pemindahan hak milik tanah FELDA itu.

BH menerusi laporan eksklusifnya pada 21 Disember lalu, membongkar FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik dekat Jalan Semarak di sini, yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

-BeritaHarian