Oleh Nazialita Geynna Maharan

PENGKALAN HULU: Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim berkata pihaknya bersedia mencari jalan supaya satu kaedah alternatif dapat dicapai bagi menyelesaikan isu tanah kebun yang didakwa ditebang tanpa kebenaran baru-baru ini di Kampung Pahit.

Katanya, siasatan terperinci mendapati terdapat percanggahan maklumat dalam laporan Salmiah Abdullah,37, mengenai status permohonannya mengenai pemilikan geran tanah.

Aznel menegaskan pihak Pejabat Tanah dan Daerah juga telah memeriksa nama pengadu dalam senarai permohonan geran tanah di kawasan berkenaan dan tidak menemui sebarang rekod.

“Kita bersedia untuk membantu pengadu iaitu Salmiah samada untuk menjadi peserta RPB atau meminta beliau mengemukakan permohonan sebagai pemilik tanah yang didakwa itu,”katanya.

Menurutnya, tanah yang dipersoalkan itu berstatus Tanah Kerajaan bagi tujuan laluan simpanan awam untuk menghubungkan Klian Intan ke Rancangan Tanah Pertanian Berkelompok (RPB) Wilayah Sungai Kepayang, Kampung Pahit 2.

“Malah,tindakan mewujudkan Laluan Simpanan Awam ini adalah selaras dengan Seksyen 388 dan 389 Kanun Tanah Negara.

“Sebelum ini, sebenarnya Pejabat Tanah dan Daerah Pengkalan Hulu telah memberi ruang dan peluang untuk mereka mengutip hasil daripada pokok-pokok yang ditanam atas tanah kerajaan.

“Cuma sekarang, tanah itu diperlukan untuk manfaat penduduk miskin termasuklah Rancangan Pertanian Berkelompok yang telah diusahakan sejak permohonan bagi projek diluluskan pada 1997.

“Pada 2005 projek itu diserahkan kepada FELCRA untuk dibangunan.

Tetapi ianya tetap berstatus tanah rizab dan pemilik geran adalah kerajaan, bukannya hak milik itu diberikan kepada FELCRA.

“Hanya pada November 2017, barulah FELCRA bertindak menggunakan peruntukan mereka sendiri bagi membersihkan laluan masuk hampir 500 meter panjang dan keluasan 40 kaki,”katanya menjelaskan perkara itu secara teliti kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Tanah dan Daerah Pengkalan Hulu pada petang Selasa.

Menurut Aznel, rekod menunjukkan tiada permonohan dibuat oleh mana-mana individu bagi kawasan tersebut.