PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Najib Razak mengingatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berhubung tawaran kerajaan untuk membeli tanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Najib mempersoalkan nilai tawaran itu dengan harga tanah di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) yang mencecah RM3,000 satu kaki persegi, berbanding harga paling tinggi yang ditawarkan oleh kerajaan.

“Bukan luar biasa jika ada kala harga Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) boleh jauh di bawah harga pasaran.

“Jangan diperdaya oleh menteri Harapan Coin jika dia masih pegang tetap kepada penilaian JPPH kerana akhirnya, kroni-kroni PH yang akan untung besar atas tanah rakyat,” katanya di laman Facebooknya merujuk kepada Khalid.

Kerajaan hari ini mengumumkan tawaran untuk membeli tanah di Kampung Baru, yang merupakan kawasan hartanah utama orang Melayu di ibu negara, dengan nilainya mungkin mencecah sehingga RM6 juta satu lot.

Perkara itu diumumkan oleh Khalid dalam “sesi townhall” bersama-sama lebih 3,000 pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru di sini, pagi ini.

Khalid berkata, beliau difahamkan purata keluasan setiap lot tanah di situ ialah 8,000 kaki persegi.

Kerajaan menawarkan kadar RM850 bagi setiap satu kaki persegi sebagai pulangan kepada pemilik dan pewaris bagi pembangunan semula kawasan tersebut.