IPOH: Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) komited untuk memastikan semua tanah rizab Melayu yang diambil untuk tujuan pembangunan akan digantikan.

Menteri Besar, YAB Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri bercadang menambahbaik perkara itu dengan memastikan proses disegerakan dan memenuhi tujuh kriteria yang telah ditetapkan, khususnya dari aspek keluasan dan memenuhi ciri-ciri tanah rizab yang dibangunkan.

Dalam masa yang sama, kata beliau, kerajaan negeri juga akan menambah bilangan tanah rizab itu dengan mengambilalih tanah hutan simpan dan tanah lapang di bawah Seksyen 5 Enakmen Rizab Melayu Perak.

Beliau memberitahu, jumlah semasa keseluruhan tanah rizab Melayu di negeri Perak adalah 970,000 hektar.

“Jumlah ini adalah 46 peratus dari keseluruhan keluasan negeri Perak iaitu dua juta, satu ratus dan lima ribu hektar (2.1005 juta hektar).

“Jumlah ini masih belum mencukupi untuk memenuhi wasiat Raja-Raja Melayu yang menetapkan jumlah tanah rizab Melayu mestilah tidak kurang dari 50 peratus,” katanya ketika menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara langkah yang dicadangkan untuk meningkatkan jumlah rizab itu adalah dengan mewartakan semua tanah di bawah Majlis Agama Islam Negeri Perak termasuk tanah wakaf, tanah masjid, surau dan pejabat agama sebagai tanah rizab Melayu.

Menurut beliau, langkah itu dijangka akan menambahkan 85,000 hektar tanah jumlah rizab Melayu Perak.