KUALA KURAU: Golongan pesawah perlu bersikap positif dan berfikir di luar kotak terhadap cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai menanam padi waktu malam.

Exco Kemudahan Awam Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Negeri Perak, Abdul Yunus Jamhari percaya, cadangan itu berbentuk kiasan supaya pesawah lebih kreatif dalam bidang pertanian diceburi, tanpa batasan waktu dan cuaca.

Menurut beliau, cadangan Tun Mahathir juga perlu diberi perhatian kerana pemimpin negara itu mahu lebih ramai rakyat menyertai pelbagai sektor pekerjaan tanpa mengira latar belakang pendidikan.

“Kenyataan Tun Mahathir pada saya bukannya disampaikan secara literal, mahu memaksa pesawah melakukan kerja pertanian pada waktu malam.

“Tidak kira waktu siang atau malam, cuaca sejuk atau panas, peluang pekerjaan yang ada tidak boleh dilepaskan kepada pekerja asing biarpun jenis pekerjaan itu tergolong bidang kerja kotor, bahaya dan susah (3D).

“Jika rakyat negara ini masih bersikap memilih pekerjaan ditawarkan, nescaya negara kita akan mundur,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada 11 keluarga mangsa ribut dan dua keluarga mangsa kebakaran di Pusat Khidmat ADUN Kuala Kurau di sini, pada Jumaat.

Abdul Yunus berkata, nasihat Tun Mahathir juga bertujuan memberi motivasi kepada rakyat yang masih menganggur, agar tidak terlalu memilih pekerjaan dan suka bergantung kepada bantuan kerajaan.

Dalam pada itu, Abdul Yunus yang juga ADUN Kuala Kurau berkata, beliau akan menggerakkan semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk mengumpulkan data dan maklumat senarai fakir miskin, warga emas, anak-anak yatim dan ibu tunggal bagi tujuan pemberian bantuan menjelang Ramadhan ini.