IPOH – Kerajaan Perak dicadangkan menanam semula hampir 10,000 pokok melibatkan keluasan 10 hektar di lereng bukit Banjaran Kledang berhampiran Jalan Ipoh-Lumut yang diceroboh dengan aktiviti penerokaan haram.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, penanaman semula pokok tersebut penting bagi tempoh jangka masa panjang dalam memastikan kawasan berkenaan dapat dipulihara sepenuhnya.

“Untuk langkah jangka masa panjang kita berharap kerajaan negeri dapat melakukan aktiviti penanaman semula pokok di lereng bukit ini yang dianggarkan memerlukan hampir 10,000 jenis pokok seperti cengal dan keruing.

“Saya meminta pihak Pejabat Menteri Besar Perak bersama Perbadanan Menteri Besar (MB Inc.) untuk menganjurkan program tanaman semula bersama komuniti setempat dan Menteri Besar Perak sendiri turun dalam aktiviti ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di kawasan sekitar Kaki Bukit Kledang, di sini.

Meor Razak (tengah) ketika sidang media di lereng bukit yang diterokai.
Meor Razak (tengah) ketika sidang media di lereng bukit yang diterokai.

Menurut Meor Razak, cadangan menanam semula pokok di kawasan berkenaan secara beramai-ramai melibatkan komuniti setempat bertujuan sebagai alternatif kepada kerajaan negeri menjimatkan kos daripada melantik pihak swasta.

“Kita sedia memberi kerjasama dan sumbangan tenaga secara sukarela daripada kerajaan negeri mengeluarkan tender untuk menanam semula pokok-pokok di kawasan ini.

“Pemimpin turun bersama rakyat menanam pokok ini lebih baik kerana kalau bagi kepada syarikat kontraktor penanaman ia akan melibatkan kos kalau beramai-ramai kita akan dapat meminimakan kos serta mendekatkan rakyat dengan pemimpin,” katanya.

Meor Razak turut memberi cadangan selepas kerja-kerja pemuliharaan lereng bukit dengan penanaman semula pokok selesai, pihaknya berharap agar kerajaan negeri menggazetkan kawasan tersebut sebagai sebahagian Hutan Simpan Kekal Kledang Saiong.

“Walaupun sebelum ini ada kenyataan mengatakan kawasan ini bukan kawasan hutan simpan dan milik MB Inc serta tanah kerajaan kita berharap ia dapat digazetkan sebagai sebahagian Hutan Simpan Kekal Kledang Saiong.

“Ini kerana siapa tahu selepas dipulihara kawasan ini akan menjadi salah satu kawasan riadah untuk penduduk setempat dan menjadi antara tarikan di Ipoh,” katanya – sinarharian