BAGAN DATUK – Sebanyak 10 hektar tanaman kelapa sawit yang ditanam secara haram di atas tanah Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Sungai Ipil dalam Mukim Teluk Bharu di sini, dibersihkan Pejabat Tanah Bagan Datuk dalam satu operasi penguatkuasaan penerokaan hari ini.

Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Hussin berkata penerokaan di atas tanah RPT milik kerajaan itu sudah berlarutan hampir 30 tahun, dan tanah berkenaan masih belum dikeluarkan hak milik kepada peserta RPT.

“RPT ini diluluskan pada April 1985 seluas 20.2 hektar, dengan menyediakan 154 lot tapak rumah. Namun 92 hak milik dikeluarkan di atas RPT tersebut, manakala bakinya 62 lot (tanah 10 hektar) masih belum dikeluarkan hak milik.

“Namun, disebabkan tiada infrastruktur dan kemudahan asas dibina, peserta yang telah mendapat hak milik di atas RPT itu sehingga kini masih belum mendirikan kediaman,” katanya.

Beliau ditemui di lokasi tersebut bagi melihat operasi penguatkuasaan dijalankan menggunakan dua jengkaut yang memusnahkan kesemua tanaman kelapa sawit yang ditanam secara tidak sah di atas tanah milik kerajaan itu.

Operasi penguatkuasaan itu dilakukan Pentadbir Tanah beserta Unit Penguatkuasaan Tanah Daerah Bagan Datuk, Unit Penguatkuasaan Tanah Pejabat Tanah dan Galian Perak, Unit Penguatkuasaan Tanah Daerah Hilir Perak dan polis.

Hamzah berkata pihaknya mahu perkara tertangguh itu diselesaikan segera dengan menyediakan infrastruktur termasuk mengekang penerokaan tanah milik kerajaan oleh individu yang mengaut keuntungan secara haram sejak sekian lama.

“Bagi tujuan itu, pentadbiran daerah telah memohon sejumlah peruntukan bagi membina kemudahan asas dan infrastruktur di atas RPT ini,” katanya.

Hamzah berkata operasi itu dilakukan berikutan beberapa aduan dikemukakan peserta RPT Sungai Ipil mengenai penerokaan tidak sah oleh pemilik-pemilik tanah lot bersebelahan RPT Sungai Ipil.

Berikutan itu, katanya mesyuarat penyelarasan dijalankan pada 21 Dis tahun lalu bagi mencari penyelesaian pencerobohan secara tidak sah di atas RPT Sungai Ipil, dan hasilnya Pentadbir Tanah memutuskan untuk menjalankan operasi itu.

“Notis mengosongkan tanah di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara 1965 dikeluarkan kepada semua pengusaha yang meneroka secara tidak sah dan ditampal di atas tanah RPT berkenaan pada 27 Dis menyatakan bahawa pengusaha perlu mengosongkan tanah tersebut dalam tempoh 14 hari.

“Namun, disebabkan pelbagai hal dalam Januari termasuk majlis pengisytiharan Bagan Datuk sebagai daerah baharu dan program Pemukiman Menteri Besar…hari ini baru kami laksanakan tindakan penguatkuasaan,” katanya.

— BERNAMA