KUALA KANGSAR – Jika ada pihak yang cuba mempertikaikan kredibiliti Datin Mastura Mohd Yazid sebagai calon Barisan Nasional pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, ini ada pesanan daripada ibu-ibu tunggal, ingat pesanan orang tua-tua – tangan yang menghayun buaian boleh menggoncang dunia.

Cukup padat peribahasa yang ditujukan kepada mereka yang masih sangsi akan kemampuan dan kebolehan Mastura.

Pesanan itu datangnya daripada komuniti ibu tunggal Kuala Kangsar, yang menyatakan solidariti tidak berbelah bahagi mereka terhadap teraju kepimpinan isteri arwah Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Bagi Hatton Yaacub, 60, terdapat pihak yang cuba mempergunakan isu hukum agama untuk menjatuhkan kredibiliti Mastura sebagai calon pilihan dan tidak kurang juga yang mempersendakan statusnya sebagai seorang ibu tunggal.

“Dalam Islam sendiri, jika diterjemahkan secara harfiah, peribahasa itu bermaksud seorang wanita boleh menjadi pemimpin dunia justeru status Datin Mastura sebagai ibu tunggal bukanlah penghalang dalam kepimpinannya.

“Bahkan, ianya akan menguatkan semangat seorang wanita seperti beliau untuk lebih tabah dan melakukannya penuh amanah dan jujur, tanpa sebarang maksud tersembunyi kerana ini adalah perjuangan arwah suaminya,” katanya ketika ditemui Suara Perak dalam Jelajah Konvoi UMNO Bersama Ibu Tunggal Kuala Kangsar di sini Selasa malam.

Ibu tunggal kepada empat orang anak itu berkata, pengalamannya sendiri mengajarnya erti redha dan anak-anak menjadi benteng kekuatan dan masyarakat sekeliling sebagai tempatnya berteduh dari tohmahan negatif.

Kamaliah Said, 58 pula berkata, mereka amat memahami tempoh edah yang dilalui oleh Mastura dan tetap akan menyokong dan mendoakan kejayaannya sebagai seorang pemimpin wanita sekiranya menang dalam PRK itu.

“Pada seorang bahu ibulah, diletakkan segala urusan dan tanggungjawab membesarkan anak menjadi insan soleh, dan itulah teras sebuah keluarga, maka saya percaya peribadi ini akan dipraktikkan sebagai seorang pemimpin.

“Malah, Datin Mastura kenal apa itu pengorbanan kerana sebagai seorang yang cukup bijak, berpengalaman dalam bidang perundangan serta berkaliber, beliau setia menemani suaminya dan menjaga anak-anak, dari sinilah kita lihat keterampilan seorang wanita yang sebenar, ciri-ciri itu sudah lama kelihatan,” katanya penuh yakin.

Ibu kepada empat orang anak dan lapan orang cucu ini berharap agar Mastura sentiasa bersabar terhadap segala jenis kecurigaan dan permainan kotor pihak yang cuba menjatuhkannya kerana komuniti ibu tunggal di Kuala Kangsar akan selalu berada di sampingnya, mendoakan dan memberikannya semangat.