TAIPING – Isu kewujudan kawasan sampah haram harus ditangani semua pihak secara serius bagi mengelakkannya menjadi kawasan pembiakan anjing liar dan sekali gus mencetuskan penularan wabak penyakit anjing gila atau Rabies.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kumpulan anjing liar kebiasaannya akan tertumpu kepada lokasi mempunyai sumber makanan tinggi dan kawasan tersebut kemudiannya akan menjadi pusat pembiakan haiwan itu.

Menurutnya, satu-satunya inisiatif mencapai sasaran bilangan anjing liar sifar di negara ini hanyalah dengan memastikan masalah kewujudan kawasan sampah haram dibanteras sepenuhnya.

“Selain masalah kawasan sampah haram, kaedah penduduk melupuskan sisa makanan terbuang dengan cara tidak sepatutnya turut mengundang kehadiran dan pembiakan anjing liar di kawasan perumahan mereka.

“Justeru, bagi daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) yang diwartakan sebagai kawasan wabak Rabies sebelum ini, penduduk di sini perlu berperanan besar menangani kewujudan kawasan sampah haram dan kaedah pembuangan sisa makanan secara lebih efektif bagi mengelakkannya menjadi kawasan penularan wabak Rabies,”katanya kepada media pada program kesedaran penyakit rabies di Wisma Persekutuan Taiping, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming, Ketua Bahagian Penguatkuasa Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Musnarizal Abdul Manaf dan Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah LMS, Dr Yusniza Mohd Yusof.

Boon Chye berkata, sepanjang pewartaan daerah LMS sebagai kawasan wabak Rabies, Jabatan Kesihatan Negeri Perak sentiasa memastikan bekalan vaksin dan imunogoblin sentiasa mencukupi untuk tindakan kepada individu berisiko tinggi dijangkiti Rabies dan anjing bertuan.

Menurutnya, bagi penggunaan vaksin Rabies kepada manusia, sebanyak 28 orang individu berisiko tinggi dijangkiti Rabies dibekalkan 4 dos vaksin bagi tujuan pencegahan.

“Bagi suntikan vaksin Rabies terhadap anjing, sejumlah 3,700 anjing dipelihara di daerah LMS menerima keperluan itu sehingga kini.

“Memandangkan hanya empat kes anjing dikenal pasti positif Rabies berbanding 100 sampel kes dikaji, jadi penularan wabak rabies di daerah LMS boleh disimpulkan tidak membimbangkan berbanding negeri Sarawak yang mempunyai 30 peratus kadar penularan wabak Rabies dalam kalangan anjing,”katanya.

Boon Chye berkata, bagi pemantauan anjing-anjing dibawa masuk dari luar negara, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Daerah LMS sudah mengadakan langkah pencegahan dengan mengambil 14 sampel otak anjing liar untuk dilaksanakan kajian kesan penularan wabak Rabies di kawasan pesisiran pantai Kuala Sepetang tahun lepas.

“Hasil kajian mereka menunjukkan jawapan negatif, tiada penularan wabak, namun kita juga tidak menolak kemungkinan punca penyakit rabies datang dari negara memiliki isu penyakit Rabies endermik seperti Thailand.

“Justeru, saya sekali lagi menasihati pemilik anjing untuk segera mengambil tanggungjawab mendaftar, memberi vaksin Rabies dan mengawal anjing dipelihara supaya tidak merayau di luar premis mereka atau berdepan tindakan dilupuskan,”katanya.

Pada 14 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan mukim Taiping dan Bukit Gantang di daerah LMS di diwartakan sebagai kawasan jangkitan Rabies atau anjing gila berikutan empat sampel diambil mendapati ia positif wabak berkenaan – sinar harian