Kebergantungan golongan muda khususnya lepasan Institusi Pengajian Tinggi untuk mendapat tempat dalam sektor awam memang tidak dapat dinafikan.
Tidak terkecuali di negeri Perak yang menyaksikan hanya 20 peratus anak muda bekerja dalam sektor awam ini dan selebihnya berhijrah ke Lembah Klang dan sebagainya selepas gagal untuk mendapat tempat dalam kerajaan.
Tanggapan Sektor Kerajaan Lebih Terjamin
Malah sekian lama pemikiran mereka ditanam dengan tanggapan bahawa sektor Kerajaan menjamin masa depan berbanding swasta yang bila-bila masa boleh hilang pekerjaan.
Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional Dan Sumber Manusia Negeri Perak, A.Sivanesan mengakui presepsi itu masih utuh di kalangan golongan muda namun berpendapat ianya harus diubah.
“Tidak ada sesiapa yang katakan tidak ada kerja, kerja itu wujud tetapi tinggal lagi adakah mereka (anak muda) mahu buat atau tidak menerimanya sahaja.
“Kebiasaan saya lihat anak muda kaum Melayu dan India sentiasa inginkan kerja Kerajaan, alasannya sejak dulu sampai sekarang ialah ianya lebih selamat berbanding swasta yang mana mereka rasakan mereka boleh dipecat pada bila-bila masa.
“Sedar dengan kebergantungan ini, saya ingin pastikan dalam setahun sekurang-kurangnya kita boleh wujudkan peningkatan peluang kerja  sebanyak 10 peratus dalam kerajaan, manakala dalam jangka masa lima tahun berharap ianya dapat ditingkatkan kepada 50 peratus sebagai satu tarikan supaya anak muda kekal tinggal dan bekerja di Perak.
Dalam pada itu ujar Sivanesan, pihaknya kini sedang dalam kerangka untuk mengadakan perbincangan dengan Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) bagi merancang dan menambahbaik program untuk anak muda.
“Selepas berjumpa dengan pihak PeKA, saya akan menilai jika ada kelemahan atau masalah untuk diatasi,” katanya.
Cipta Pekerjaan Baharu
 
Penyelaras Zon Utara Federasi Kebangsaan Pekerja Belia, Khairul Anuar El-Syazali Musa berpendapat golongan muda perlu didedahkan dengan keperluan guna tenaga sebenar di negara ini.
“Zaman sekarang adalah masa untuk anak muda tunjukkan kuasa ketiga atau third force dengan mencipta satu bidang pekerjaan baharu, buka perniagaan sendiri dan cari pekerja.
“Mereka perlu nilai diri mereka di mana dan memilih pekerjaan mengikut keupayaan dan kemampuan, jangan jemu untuk belajar untuk tingkatkan kualiti diri,” ujar El- Syazali kepada Suara Perak.
Suara Perak berkesempatan menemubual Mohd Fakhrul Tohar,22, yang bekerja sebagai tukang jahit walaupun sebelum ini dia merupakan lepasan Diploma Teknologi Maklumat.
Dari Teknologi Maklumat ke Tukang Jahit
Kegigihan Fakhrul untuk menceburi bidang yang jauh berbeza dari apa yang dipelajarinya sebelum ini membuktikan dia tidak terikat dengan pemilihan kerja di pejabat berhawa dingin dan berkerusi empuk.
“Kita tidak boleh hanya menunggu untuk dapat kerja tetap contohnya habis belajar tunggu satu atau dua tahun, kita perlu buat sesuatu dengan kelebihan, bakat serta peluang yang tersedia.
“Saya pun tidak sangka boleh cebur bidang menjahit, lepas habis pengajian saya lihat kakak saya menjahit di rumah dan bantu apa yang patut, lama-kelamaan minat dan kebolehan itu datang sendiri.
“Pendapatan sebagai tukang jahit juga agak lumayan, kebetulan saya mula dekat dengan Hari Raya, boleh cecah sampai empat hingga lima angka,” ujarnya.