KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan menangguhkan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) diyakini dapat mengurangkan ketegangan yang timbul sejak akhir-akhir ini.

Pengarah Perhubungan Awam PATRIOT, Dr Wong Ang Peng berkata, banyak pihak termasuk pakar undang-undang sudah menyuarakan pandangan mereka berhubung perkara itu dan langkah menangguhkan ratifikasi ICERD adalah langkah bijak.

“Kerajaan mengambil langkah bijak dengan mengumumkan tidak akan meneruskan ICERD yang mana ia dilihat dapat ‘menyejukkan’ ketegangan selepas beberapa insiden yang saya rasa tidak perlu berlaku.

“Pakar undang-undang sudah memberikan pandangan mereka. Negara kita secara keseluruhannya perlu bergerak ke depan depan dan matang dengan rakyat perlu mempercayai satu sama lain, saling membantu serta bersama-sama menjadikan Malaysia hebat sekali lagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, apabila tiba masanya ratifikasi ICERD tidak akan menjadi isu yang perlu diperdebatkan.

“Buat masa ini, keutamaan negara kita untuk menyatukan semua rakyat Malaysia untuk menghadapi kesusahan ekonomi yang akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memuji tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanggil individu yang mengeluarkan ucapan atau pesanan tular berbaur kebencian dan hasutan.

“Memanggil orang yang bertanggungjawab termasuk menteri dan ahli politik adalah tindakan yang betul untuk memudahkan siasatan.

“Kita mempunyai undang-undang sedia ada yang mencukupi untuk melakukan siasatan tanpa Akta Hasutan untuk mengambil tindakan terhadap pelaku,” katanya.

Terdahulu, PATRIOT menggesa PDRM dan Ketua Polis Negara memantau ucapan atau pesanan tular berbaur kebencian daripada pihak yang ingin menimbulkan masalah.

Presidennya, Datuk Mohd Arshad Raji dilaporkan berkata tindakan segera perlu diambil sebelum perkara berkenaan menjadi lebih serius.

Laman web BH Online melaporkan Kabinet hari ini secara sebulat suara bersetuju menangguhkan ratifikasi ICERD selepas mengambil kira kebimbangan umum termasuk keselamatan nasional negara.

Berdasarkan maklumat sumber, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya hari ini berikutan mesyuarat mingguan Kabinet – berita harian