LANGKAP: Tangisan seorang kanak-kanak istimewa menyelamatkan dia dan bapanya daripada kebakaran rumah mereka di Kg Baru Chui Chak dekat sini pagi ini.

Kok Chem Hua, 9, dikatakan tersedar daripada tidur, kira-kira jam 6.15 pagi ini, lalu menangis menyebabkan bapanya, Kok Su Hock terjaga.

Kedua-dua mereka sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran yang memusnahkan lebih 80 peratus rumah mereka.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan yang menerima panggilan kira-kita kam 6.50 pagi berjaya memadam kebakaran dengan bantuan enam anggota bomba sukarela dari Chui Chak.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang melawat kedua beranak itu menyerahkan sumbangan wang tunai RM2,000 daripada tabung bencana daerah selain barangan keperluan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

tangisan-anak

“Saya juga telah meminta pegawai saya membantu mendapatkan rumah sementara untuk kedua-dua beranak itu di samping membuat laporan polis,” katanya.

Beliau menambah, Pusat Khidmat ADUN Sungai Manik juga akan membantu menyediakan pakaian dan peralatan persekolahan untuk kanak-kanak istimewa itu yang dikatakan menghadapi masalah pembelajaran.

Difahamkan mangsa yang bekerja sebagai buruh di kebun hanya tinggal berdua dengan anaknya selepas isterinya melarikan diri.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

 

tangisan-anak 3