KENINGAU: Seorang bayi lelaki yang cukup sifat, ditinggalkan dalam keadaan bogel di bawah tangki air bersebelahan rumah seorang penduduk dekat Taman Juta di sini, awal pagi semalam.

Bayi malang itu ditemui dalam keadaan dihurungi semut oleh wanita berusia 66 tahun yang juga penjual ikan bilis ketika bersiap untuk keluar berniaga kira-kira jam 5 pagi.

Difahamkan, ketika kejadian wanita itu berada bersendirian kerana suaminya berada di Kota Kinabalu atas urusan kerja, dikejutkan dengan tangisan bayi.

Curiga dengan tangisan yang didengarnya, wanita itu keluar meninjau sebelum melihat bayi itu ditinggalkan dalam keadaan bogel di bawah tangki air bersebelahan rumahnya.

Wanita terbabit bergegas menyelamatkan bayi itu serta membersihkan mangsa yang daripada kesan semut merah, sebelum menghubungi bantuan anaknya untuk membuat laporan ke balai polis berhampiran.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Ahmad Jawila, berkata bayi itu sudah dihantar ke Bahagian Kecemasan Hospital Keningau untuk tujuan pemeriksaan.

“Bayi itu dipercayai berusia lingkungan seminggu dengan berat 3.5 kilogram dan tiada sebarang kecederaan pada tubuhnya.

“Siasatan mendapati suspek dipercayai masuk ke kawasan rumah wanita itu melalui pintu pagar hadapan yang tidak berkunci,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana buang bayi – berita harian