BERUAS 2 Okt. – Sebuah tangki minyak terjatuh daripada treler yang mengangkutnya lalu bergolek di atas jalan dan merempuh sebuah kedai berhampiran Balai Polis Pantai Remis di Jalan Besar Pantai Remis di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 1 petang itu berlaku setelah rantai yang mengikat tangki yang mampu memuatkan kira-kira 25,000 liter bahan bakar itu terputus hingga menyebabkan ia tergelincir di atas jalan.

Bagaimanapun, tiada kecederaan melibatkan orang awam dilaporkan dalam kejadian berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis, Mohamad Sururi Ismail berkata, lori membawa dua buah tangki minyak itu dalam perjalanan dari Batu 6 Segari di sini ke Alor Setar, Kedah.

Katanya, rantai yang mengikat salah satu tangki itu telah terputus dan ini menyebabkan ia menggelungsur jatuh di atas jalan dan merempuh sebuah kedai di bahu jalan.

“Ketika kejadian terdapat kira-kira 50 liter minyak petrol di dalam tangki tersebut dan berlaku sedikit tumpahan minyak di lokasi kejadian.

“Operasi menarik keluar dan mengangkat tangki itu oleh kren daripada pihak swasta mengambil masa kira-kira satu jam. Pihak bomba bertindak memantau bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku akibat tumpahan minyak,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE