KEMAMAN: Sebuah tangki minyak yang dipercayai menakung 40,000 liter minyak mentah milik Kemaman Bitumen Company di kawasan Perindustrian Teluk Kalong, dekat sini terbakar petang ini.

Kebakaran itu berlaku, kira-kira jam 6.15 petang, menyebabkan persekitaran kawasan terbabit dipenuhi asap hitam yang tebal.

NSTP difahamkan tangki besar yang terbakar itu mampu mengisi kira-kira 300,000 liter minyak mentah.

Ketika kebakaran itu berlaku, tangki terbabit hanya mengandungi lebih kurang 40,000 liter minyak selepas kebanyakannya sudah digunakan.

Kelihatan berpuluh anggota Bomba bersama beberapa buah jentera dari Balai Bomba Chukai dan Kerteh berada di kawasan kebakaran terbabit.

Selain itu, kerja memadam kebakaran turut dibantu pasukan dan anggota Persatuan Kilang-kilang di kawasan Industri terbabit yang dikenali Kemaman Mutual Aid (KEMA).

Sehingga jam 8 malam tadi, kerja memadamkan dan mengawal kebakaran daripada merebak ke tangki bersebelahan sedang giat dilakukan – berita harian