Kilang Peluru Zaman Jepun

Kesan pendudukan Jepun di Tanah Melayu suatu ketika dahulu bukan sahaja tersurat di helaian buku-buku sejarah bahkan dibuktikan berdasarkan tinggalan-tinggalan sejarah struktur bangunan dan cerita dari mulut ke mulut.

Bila sebut Tanjung Bangkong ramai yang tidak tahu bahawa perkampungan yang terletak berdekatan Malim Nawar ini menyimpan banyak khazanah dan sejarah berkaitan kedatangan dan pendudukan tentera jepun di Tanah Melayu, khususnya negeri Perak.

 

Kelubung Asap, Tapak Pembakaran Kabait

Difahamkan menerusi penceritaan penduduk kampung di sini, kawasan kampung ini dijadikan sebagai salah satu markas tentera Jepun untuk berlindung dari musuh selain menjalankan kegiatan harian mereka.

Menurut salah seorang penduduk, Zulkifli Yusof,60, dahulunya ramai penduduk kampung dikerahkan untuk bekerja secara paksa oleh tentera Jepun bagi menghasilkan bahan api bertujuan untuk kegunaan pasukan tentera mereka dalam peperangan.

Malah bukti kepada kisah itu boleh dilihat dengan peninggalan kelubung asap yang terletak di celah-celah rumah penduduk di Kampung Tersusun Tanjung Bangkong dan kekal utuh sehingga sekarang.

“Ramai orang datang ke sini untuk lihat tinggalan tentera Jepun, salah satunya kelubung asap yang beroperasi sebagai tapak pembakaran kabait ketika Perang Dunia Kedua dan sebahagian daripada kilang pembuatan peluru.

“Bentuknya yang unik turut menarik minat pengunjung untuk tahu lebih lanjut tentang tempat ini.

“Selain kelubung asap terdapat juga tinggalan tapak kuarters lokasi pembuatan arang batu, kubur lama, perigi, kolam mandi, bongkah tiang dan lorong bawah tanah. Namun begitu kebanyakan daripadanya sudah tertimbus atau hanya ada kesannya sahaja,” ujar Zulkifli.

 

Roboh Bangunan Jepun, Bina Rumah

Zulkifli menambah, setelah beberapa tahun kumpulan tentera Jepun meninggalkan kampung itu berikutan tamatnya peperangan, peluang itu digunakan sebaiknya oleh kebanyakan penduduk di situ untuk merobohkan binaan yang ditinggalkan.

Setelah dirobohkan struktur bangunan itu, mereka kemudiannya mengambil batu-bata itu dan menggunakannya untuk membuat rumah oleh kerana ramai di antara mereka yang tidak mempunyai tempat untuk berteduh.

“Sayangnya apa yang tinggal untuk tatapan generasi zaman ini adalah beberapa peratus dari binaan yang ada ketika zaman pemerintahan Jepun dahulu disebabkan sebahagian daripadanya sudah diambil untuk membina rumah penduduk kampung sebaik tamat saja perang,” katanya.

Ujarnya, sekiranya diperhatikan dengan teliti ada beberapa buah rumah yang jelas terlihat dari sudut pengunaan batu bata berwarna merah yang sememangnya sama seperti tinggalan binaan markas serta kelubung asap.

“Nilai sejarah dan nostalgia masih kekal tersimpan di sini, kita dapat lihat bagaimana bangunan yang ada lebih-lebih lagi kelubung asap ini masih kukuh dan bertahan walau sudah bertahun lamanya,” katanya.

 

 

Kunjungan Tentera Jepun Beri Penghormatan

Tambah menarik, meskipun tapak peninggalan sejarah ini jauh tersorok di dalam kampung, ia tidak pernah sunyi dengan kehadiran pengunjung yang terdiri dari rombongan pelajar dari luar sama ada untuk tujuan penyelidikan mahupun melancong. Kebiasaannya mereka akan datang dan meninjau kawasan sekitar setiap hujung minggu atau cuti sekolah.

Zulkifli turut mengakui sehingga kini masih ada tentera jepun yang datang berkunjung ke Tanjung Bangkong bagi menziarah serta memberi penghormatan kepada tentera yang terkorban semasa peristiwa perang di Tanah Melayu.

“Seakan masih ada hubungan yang belum terputus di antara Jepun dan tempat ini, ada yang sanggup terbang dari Jepun untuk datang singgah ke sini semata-mata ingin memberi penghormatan pada tentera terkorban. Kedatangan mereka sedikit sebanyak mengukuhkan banyak ceritacerita mulut yang disampaikan orang tua dahulu,” katanya.

Sambil menceritakan sejarah yang ada di sini, dia turut berharap generasi muda hari ini lebih menghargai pengorbanan pejuang tanah air demi memerdekakan Tanah Melayu dari belenggu penjajah

“Kalau selama ini kita mungkin tertumpu kepada satu-satu tempat yang sudah terkenal dengan tinggalan sejarah, ramai yang tidak tahu di kampung ini juga ada kesan-kesan perang. Di sini kita boleh lihat dengan mata sendiri dan boleh bayangkan keadaan dan penderitaan orang kampung suatu masa dulu.

“Sebaiknya peninggalan ini terus dipelihara untuk tatapan semua, jadikan ia sebagai pedoman dan iktibar bersama,”katanya.

Berdasarkan kunjungan pelawat Jepun saban tahun ke kampung ini untuk melihat tinggalan kesan perang, sudah pasti nama Tanjung Bangkongterpahat dan tersimpan rapi dalam lipatan sejarah negara matahari terbit itu.