MANJUNG: Kawasan pesisir pantai Tanjung Kepah yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, dekat sini akan dibangunkan sebagai satu produk pelancongan domestik mesra alam.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebagai permulaan, sebanyak RM100,000 peruntukan diluluskan bagi tujuan tersebut.

Menurut beliau, kawasan itu akan dibangunkan sebagai kawasan riadah dan tempat kegiatan kemasyarakatan dengan beberapa kemudahan seperti taman permainan kanak-kanak, waqaf dan gerai.

“Usaha-usaha pengekalan kawasan pantai ini perlu dilakukan memandangkan ia masih lagi terpelihara dan perlukan perhatian daripada pihak berkuasa dan juga masyarakat kampung,” katanya kepada pemberita selepas melawat kawasan pelancongan di Kg Tanjung Kepah, Lekir dekat sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim dan Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Dr Zambry berharap, penduduk kampung dapat memainkan peranan untuk menjaga kawasan tersebut dan tidak hanya mengharapkan kepada pihak berkuasa.

“Kawasan ini dipenuhi dengan pokok api-api dan bakau yang perlu dijaga, selain menjadi tempat orang kampung mencari siput dan sebagainya.

“Dengan adanya cadangan untuk membangunkan kawasan ini sebagai kawasan riadah, sekaligus ia akan dijaga dan dipelihara dengab baik,” ujarnya.

Di samping itu, beliau tidak mahu program-program dan kegiatan yang boleh mengganggu atau merosakkan alam sekitar dilakukan di kawasan tersebut.