MANJUNG: Komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam memulihkan dan memajukan PROTON mampu membangunkan Tanjung Malim sebagai bandar automotif setanding dengan negara maju lain.

Menteri Besar Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, kesungguhan Perdana Menteri untuk menjadikan Tanjung Malim sebagai hab pertumbuhan baru negara secara tidak langsung mewujudkan kemudahan asas yang boleh merancakkan ekonomi penduduk setempat.

“Kerajaan negeri akan memberikan kerjasama mantap selain mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana menerima pelan perancangan Perak Selatan yang telah kita kemukakan dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

“Saya telah berbincang dengan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk menjayakan matlamat ini dan kawasan ini mampu menjadi pusat automotif antarabangsa seperti wilayah Aichi di Jepun yang menempatkan banyak syarikat automotif,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa mengadakan program di kawasan di sini hari ini.

Dalam pada itu ujarnya, kerajaan negeri telah berbincang dengan pihak DRB-HICOM untuk mengembangkan potensi yang ada di bandar Tanjung Malim.

“Saya yakin kawasan ini akan jadi bandar automotif terbaik dan menjadi bandar untuk belia seperti mana yang diumumkan oleh Perdana Menteri,”katanya