IPOH: Sokongan tidak berbelah bahagi ADUN Sungai Manik kepada kerajaan Pakatan Harapan merupakan sebab utama pentadbiran negeri ini dapat dibentuk pada hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Multimedia, Komunikasi, NGO dan Pembangunan Koperasi negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata tanpa sokongan tersebut kemungkinan kerajaan Perak hari ini masih lagi menjadi impian para penyokong.

Malah, beliau berkata bahawa Zainol juga tidak pernah sesekali mendesak jawatan bagi portfolio exco negeri berikutan memahami hakikat bahawa kehadirannya agak terlewat menyertai perjuangan Pakatan Harapan Perak.

“Ada kalangan penyokong yang marahkan pelantikan beliau sebagai Penasihat Kepada Menteri Besar Perak.

Mungkin ada yang seakan terlupa bahawa tindakan beliau telah membolehkan Kerajaan Pakatan Harapan tertubuh di negeri Perak,”katanya dalam satu kenyataan media di sini,hari ini.

Hasnul dalam pada itu turut mengingatkan bahawa barisan exco kerajaan negeri yang diterajui Menteri Besar Perak,YAB MB Ahmad Faizal Azumu mempunyai tujuan jelas dalam pentadbiran dengan sentiasa menitikberatkan agenda rakyat tanpa diganggu gugat oleh pihak yang berkepentingan.

ADUN Titi Serong itu berkata, kepimpinan negeri juga sentiasa bersikap peka dengan keresahan rakyat dan pastinya tidak mahu peristiwa rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat berulang semula.

Menyentuh mengenai peristiwa pada Pilihan Raya ke-14 yang menyaksikan kemenangan Pakatan Harapan,Hasnul berkata beliau menyaksikan sendiri penyokong bersorak gembira apabila berjaya menubuhkan kerajaan di Perak malah bersyukur apabila doa mereka dimakbulkan.

“Ada kalangan rakan-rakan seperjuangan kita yang telah terkandas di tengah jalan. Menodai perjuangan yang telah digenggam erat sebagai jihad menentang kemungkaran.

“Ada juga kalangan kita yang hanya tersedar apabila sakit terhantuk hentakan realiti kemahuan rakyat. Yang pastinya, mereka tersedar.

“Tiba masanya rakyat perlu bersama-sama dengan kerajaan Perak untuk menjadi mata dan telinga bagi memperbetulkan segala kerosakan yang telah dilakukan kerajaan BN sebelum ini,”ujarnya lagi.