PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad enggan mengulas lanjut kenyataan Datuk Seri Najib Razak bahawa dirinya difitnah dan pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah adalah satu penganiayaan.

“Awak patut tanya dia (Najib), saya tidak tahu,” katanya ringkas selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, hari ini.

Najib semalam memuat naik video di Facebook miliknya memaparkan luahan hati beliau berhubung tindakan diambil pihak berkuasa terhadapnya.

Dalam klip video berdurasi 20 saat yang dipercayai dirakam sebelum penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang semalam, Najib berkata, beliau mengakui dirinya hanya insan biasa dan tidak sempurna, namun tidak semua tuduhan dikenakan kepadanya adalah benar.

Katanya, ada banyak berita, gambar yang tersebar bersifat palsu, khabar angin, putar belit dan fitnah, dan mahu siasatan dijalankan dulu kerana beliau belum berpeluang untuk mempertahankan dirinya.

Najib hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk kepentingan peribadi membabitkan RM42 juta berkaitan syarikat SRC International Sdn Bhd – berita harian