IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sudah mengambil beberapa langkah yang perlu bagi memastikan Tapak Pelupusan Sampah Ulu Johan di Lahat dekat sini, mematuhi peraturan alam sekitar.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata ia termasuk memastikan kawasan berkenaan mematuhi Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) serta tidak mengganggu keharmonian penduduk.

“Usaha berterusan dilakukan kerajaan negeri bagi mengenal pasti pendekatan terbaik melupuskan sampah pada masa depan.  “Ini adalah masalah berkaitan tempat pembuangan, dahulu di Bercham (penduduk mengadu bau busuk), sekarang di Lahat pula,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyediaan dan Pengagihan Bubur Lambuk Warga Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar mendakwa sekumpulan penduduk di kawasan Papan dan Lahat bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri berikutan tidak tahan dengan bau busuk yang datang daripada tapak pelupusan sampah itu.

Zambry berkata, kerajaan negeri tidak boleh menghalang jika ada penduduk yang mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap pusat pelupusan sampah itu kerana ia adalah hak mereka.

Sementara itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man, berkata bau busuk daripada tapak pelupusan itu kemungkinan disebabkan arah tiupan angin dari kawasan berkenaan dan pihaknya sudah melakukan usaha meminimumkan bau termasuk mengawal kemasukan air ke kawasan berkenaan.

“Tambahan pula, MBI kini dalam proses akhir untuk memindahkan sampah lama yang ditutup dengan tanah di tapak pelupusan lama di Papan, ini gangguan kecil sahaja,” katanya sambil berharap masalah itu akan berulang apabila proses berkenaan berakhir.

Dalam pada itu, Zambry berkata, pemilihan Datuk Bandar tidak harus dilihat daripada sudut perkauman sebaliknya harus melihat mereka yang dilantik ke jawatan itu sebagai rakyat Malaysia.

“Akhirnya, kita tidak boleh keluar daripada kepompong etnik, sebenarnya apa yang boleh difikirkan ialah wakil dalam Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sama ada terdapat orang Cina, India atau kaum lain kerana mereka yang sebenarnya membuat keputusan bagi sesuatu isu dalam pentadbiran mereka,” katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, baru-baru ini, yang mahu orang Cina dilantik sebagai Datuk Bandar atau diwujudkan jawatan Timbalan Datuk Bandar di kawasan yang dikenal pasti majoriti penduduk Cina. -BH Online