SITIAWAN – Kerajaan negeri akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) menyediakan laporan keselamatan tapak pembinaan jambatan menghubungkan Bagan Datuk dan Perak Tengah yang dihentikan Kerajaan Persekutuan.

Exco Kerajaan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, pihaknya tidak ada menerima sebarang aduan daripada penduduk mahupun nelayan mengenai bahaya cerucuk dan tiang yang sudah dipasang sebelum projek tersebut dihentikan baru-baru ini.

“Saya akan semak dengan pihak JKR dan minta mereka buat sikit laporan mengenai tahap keselamatan di situ, kalau bahayakan orang awam kami akan ambil tindakan.

“Ini bertujuan untuk mengelakkan kerisauan orang ramai lebih-lebih lagi nelayan yang menaiki bot melalui kawasan tersebut,” katanya ketika di tanya pemberita selepas melawat Pasar Tani Kekal (PTK) Lekir, di sini, hari ini.

Ditanya ada kemungkinan tiang dan cerucuk yang sudah dipasang di dalam Sungai Perak itu akan dicabut atau tidak, Abdul Yunus berkata ia bergantung kepada laporan keselamatan dari JKR yang akan dilaksanakan.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini melalui Kementerian Kewangan mengumumkan projek yang sepatutnya siap pada 23 Julai 2020 itu tidak diluluskan untuk diteruskan.

Projek jambatan dari pekan Bagan Datuk ke Kampung Sejagop itu mula dilaksanakan pada 3 Julai tahun lalu merupakan sebahagian projek Rancangan Malaysia Ke-1 dan sudah siap sebanyak 15.86 peratus sebelum ia dihentikan – sinar