PARIT BUNTAR – Kerajaan Perak sedang merancang memajukan kembali kesemua tapak tanah dan struktur bangunan kerajaan terbiar di Parlimen Parit Buntar bagi memastikan kemudahan itu dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat bermula tahun 2019.

Exco Kerajaan Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, sebagai permulaan, pihaknya dengan kerjasama Majlis Daerah Kerian sedang merencana semula pembangunan tanah tapak gudang beras terbiar milik Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sejak lebih 10 tahun lalu.

Menurutnya, pihaknya merancang menjadikan kawasan tanah milik Bernas itu sebagai pusat operasi pasar minggu dan pasar malam hari Jumaat terkemuka di Pekan Lama, di sini yang akan dipindahkan di situ dengan penyediaan kemudahan asas lebih selesa.

“Kerajaan juga bercadang membina satu kawasan dataran berbumbung mini arena di situ untuk kegunaan aktiviti keramaian orang awam dan kegiatan riadah.

“Satu kertas kerja dibangunkan MDK untuk tujuan itu dan saya juga akan meminta pihak berkuasa tempatan(PBT) itu menulis surat kepada Menteri Pertanian, Datuk Sallahuddin Ayub bagi memohon keizinan supaya Bernas memberi kebenaran pembangunan semula tanah terbabit,” katanya kepada media sewaktu memberi sumbangan makanan segera Kentucky Fried Chicken (KFC) kepada 62 pelajar Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perak, di sini hari ini.

Hasnul Zulkarnain yang juga Adun Titi Serong berkata, pihaknya juga akan menumpukan usaha memanfaatkan semula kuarters kakitangan kerajaan yang terbiar di Bagan Tiang untuk dirancang dilaksanakan projek pertanian skala kecil.

Menurutnya, projek sebegini pastinya akan memberi manfaat kepada penduduk setempat di samping mengelakkan struktur kerajaan terbiar itu disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk aktiviti tidak berfaedah dan tidak bermoral.

“Selain kuarters Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dj Bagan Tiang, di sini, kita juga akan memberi perhatian kepada banyak kuarters guru di sekitar Dun Titi Serong yang dikenal pasti terbiar.

“Ketika ini, penjawat awam mungkin enggan duduk kerana mereka tidak akan diberikan elaun KOLA dan sebahagian elaun rumah terpaksa dipotong sekiranya memilih tinggal di kuarters.

“Jadi, saya fikir mungkin ada kelonggaran boleh diberikan kerajaan bagi memastikan bangunan kuarters berkenaan bukan sahaja dimanfaatkan penjawat awam, malah mungkin boleh dibuka kepada orang awam yang mengalami masalah tiada rumah,” katanya – sinar harian