JASIN: Seekor tapir yang dirakam memasuki perkarangan sebuah rumah penduduk di Ulu Duyong, Bemban, di sini, awal pagi semalam, dipercayai keluar dari habitatnya untuk mencari makanan.

Haiwan yang nama saintifiknya ‘tapirus indicus’ itu dikatakan tersesat dan memasuki perkarangan sebuah rumah penduduk, kira-kira jam 3 pagi semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri, Mohd Hasdi Husin, berkata laporan mengenai kehadiran tapir itu diterima pihaknya yang dibuat seorang penduduk kampung.

“Tapir berkenaan dipercayai keluar mencari makanan kerana haiwan liar ini aktif pada waktu malam.

“Pihak PERHILITAN sudah ke lokasi, namun haiwan itu sudah tiada dipercayai masuk ke kawasan hutan berhampiran,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, beberapa keping gambar seekor tapir dirakam memasuki kediaman penduduk di Ulu Duyong, Bemban, di sini, tular di Facebook sejak lewat petang semalam.

Mohd Hasdi berkata, jika pada masa terdekat pihaknya masih menerima laporan dan terdapat gangguan daripada haiwan berkenaan, tindakan memasang perangkap akan dibuat.

“Dalam tempoh sehari dua ini kita akan melakukan pemantauan, jika masih terdapat laporan perangkap akan dipasang.

“Sehingga kini, hanya dua laporan diterima PERHILITAN mengenai tapir iaitu dua hari lalu di Krubong dan terbaru di Ulu Duyong, manakala tahun lalu di Lendu serta Ayer Paabas di Alor Gajah,” katanya.

Beliau menasihatkan penduduk atau orang awam yang terserempak dengan tapir di kawasan kediaman supaya menghubungi PERHILITAN dan tidak mengganggu haiwan berkenaan – berita harian