MEMBAKUT: Lima negeri di seluruh negara diberi penarafan lima bintang atas kecekapan serta keberkesanan pengurusan bencana banjir di negeri-negeri berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata negeri-negeri itu ialah Sabah, Johor, Pahang, Terengganu dan Sarawak manakala penarafan empat bintang diberi kepada Kelantan.

“Kelantan ada sedikit masalah dari segi pusat pemindahan sementara (PPS). Jadi Kelantan kita beri penarafan empat bintang dulu dan selepas ini (masalah PPS selesai) baru dapat lima bintang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat PPS Dewan Serbaguna Membakut, Daerah Kecil Membakut, PPS Sekolah Menengah St Patrick dan PPS Bangunan Kafa di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid dan Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shaid Othman.

Shahidan berkata Pulau Pinang belum diberi sebarang penarafan kerana proses penilaian pengurusan bencana banjir di negeri berkenaan masih berjalan.

Mengenai lawatannya ke Daerah Kecil Membakut yang turut dilanda banjir, Shahidan berkata beberapa permintaan yang dikemukakan pihak pengurusan bencana daerah yang dipengerusikan Pegawai Daerah Beaufort untuk menambah baik beberapa kelemahan telah diluluskan serta-merta.

Katanya antara permintaan yang diluluskan ialah keperluan tangki air, dua buah bot, pembaikan keperluan asas di PPS seperti tandas dan kipas angin.

Bagaimanapun kata Shahidan, permohonan dan cadangan untuk membina sebuah dewan baharu untuk dijadikan sebagai PPS tetap di Daerah Kecil Membakut akan dibincangkan terlebih dahulu dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri kerana ia melibatkan kos yang besar.

Beliau juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana banjir di Daerah Kecil Membakut sehingga pengurusan bencana itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.

— BERNAMA