IPOH: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah menarik semula lesen pengusaha hotel yang mengamalkan polisi melarang wanita bertudung ketika bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan (fontdesk).

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar berkata, tindakan keras itu perlu dibuat kerana ia secara jelas melanggar perlembangaan negara serta hak asasi individu.

Menurut beliau, polisi yang didakwa diamalkan oleh hotel-hotel bertaraf antarabangsa tersebut juga amat bertentangan dengan budaya di negara ini dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Kalau betul ini satu dasar hotel tersebut maka ia tidak sepatutnya boleh beroperasi di negara kita.

“Jika (bertaraf) antarabangsa sepatutnya mereka lebih berfikiran rasional, peringkat antarabangsa sendiri memperjuangkan hak bebebasan beragama, berpakaian, bersuara sehinggakan kebebasan berkahwin pun ada.

“Takkan pakai tudung tak boleh pula? Itu memang tak boleh diterima lah. Ini hak asasi sebagai orang Islam wanita yang wajib memakai tudung,” katanya pada satu sidang media di sini pada Rabu.

Isu larangan pekerja wanita Islam yang bertugas di bahagian depan hotel mengenakan tudung menjadi perhatian beberapa hari lalu apabila Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) membuat pendedahan mengenainya.

Menurut Uni-MLC, larangan serupa turut dikenakan ke atas pelajar yang menghadiri kursus perhotelan dan pelancongan apabila mereka membuat permohonan untuk latihan amali.

Namun, Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang mempertahankan tindakan hotel berkenaan dan berkata ia sebahagian daripada dasar antarabangsa dan setiap hotel mempunyai prosedur operasi piawai (SOP) masing-masing.