IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) bersedia menyerahkan maklumat mengenai restoran sebuah hotel terkemuka di Seri Manjung kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) untuk tindakan selanjutnya.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, mana-mana pemilik atau pengusaha premis makanan dan restoran yang telah diberikan sijil halal dan didapati melanggar hukum syarak boleh di kenakan tindakan mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011.

Menurut beliau, mereka yang melakukan kesalahan di bawah Perintah itu boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya.

Bagaimanapun, kata beliau, hukuman yang paling berat yang diterima oleh mereka ialah penarikan semula sijil halal yang diberikan.

“Apabila sijil halal mereka ditarik balik, kemudian diwar-warkan melalui pelbagai media, mereka akan hilang ramai pelanggan dan sudah tentu mengalami kerugian yang banyak,” katanya kepada Suara Perak pada Rabu.

Beliau diminta mengulas tindakan JAIPk menarik balik sijil halal sebuah restoran milik sebuah hotel di Seri Manjung kelmarin setelah didapati ada keraguan dalam penyediaan daging mentah.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal JAIPk, Yusni Abdul Rani berkata, JAIPk turut melarang penggunaan logo halal pada restoran tersebut berkuatkuasa 24 Januari lalu selepas hasil pemeriksaan mendapati pihak restoran telah menukar syarikat pembekal daging tanpa memaklumkan kepada JAIPk.

Mohd Yusop mengulangi amaran keras supaya pemilik sijil halal mematuhi segala peraturan dan prosedur yang ditetapkan.

Beliau menegaskan, JAIPk tidak akan berkompromi dalam soal ini kerana ia melibatkan hukum dan peraturan yang mesti dipatuhi demi menjaga kepentingan umat Islam di negeri ini.

Beliau juga mengingatkan pengusaha restoran dan premis makanan supaya sentiasa memperbaharui sijil halal yang telah tamat tempoh, agar tidak menimbulkan keraguan di kalangan umat Islam.

“Adalah menjadi satu kesalahan bagi mereka yang masih meneruskan urusan perniagaan menjual makanan kepada umat Islam setelah tempoh sijil halal tamat,” ujarnya.