IPOH: Bekas exco kerajaan negeri Perak ketika 11 bulan pemerintahan Pakatan Rakyat, meminta rakyat negeri itu supaya berhati-hati membuat pilihan pada 9 Mei ini.

Sekiranya silap membuat pilihan, tidak mustahil peristiwa sepanjang 11 bulan pentadbiran kerajaan negeri yang didominasi DAP akan berulang.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jering, Kapten (B) Datuk Mohd Osman Jailu berkata, sebagai exco kerajaan negeri bagi tempoh Mac 2008 hingga Februari 2009, beliau tahu banyak perkara yang sangat meruntun jiwanya apabila kerajaan negeri ketika itu didominasi oleh DAP.

Antara perkara yang berlaku ketika itu ialah soal kedaulatan raja-raja dan juga pajakan tanah selama 999 tahun.

“Memberikan hak milik tanah selama 999 tahun yang dikatakan terdapat di dalam manifesto tapi pada hakikatnya, belum ada lagi manifesto bersama pada masa itu kerana pakatan ini ditubuhkan selepas pilihan raya, sebelum itu tidak ada persetujuan bersama.

“Saya rasa apa yang saya katakan ini, biar pengundi fikir sendirilah, yang mana baik bagi mereka. Tapi berhati-hatilah, jangan kerana nyamuk, kita nak bakar kelambu,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum 2008, Kapten (B) Osman yang mewakili PKR menang DUN Changkat Jering sehingga membentuk kerajaan pakatan rakyat di Perak.

Bagaimanapun, beliau bersama-sama dua lagi wakil rakyat, ADUN Behrang dari PKR, Jamaluddin Mohd Radzi yang juga exco kerajaan negeri serta ADUN Jelapang dari DAP dan bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Hee Yit Foong mengumumkan keluar parti menjadi bebas yang menyokong Barisan Nasional.

Ekoran tindakan mereka, kerajaan pakatan rakyat Perak hanya mampu bertahan selama 11 bulan.

BERITA BERKENAANDAP ‘Kilang’ Fitnah – PM