KUALA LUMPUR : Tarikh persaraan yang jelas boleh dipaksakan ke atas Dr Mahathir Mohamad jika beliau enggan memberikan komitmen terhadap peralihan kuasa menjelang awal tahun depan, kata seorang pemimpin kanan PKR.

Menurut Rafizi Ramli, PH mungkin terpaksa mengambil pendekatan tersebut kerana rakyat mula kehilangan sabar berhubung penyerahan jawatan perdana menteri daripada Mahathir kepada Anwar Ibrahim.

“Jika (Mahathir) melepaskan (jawatannya) dengan rela, proses peralihan akan berjalan dengan sangat lancar,” kata Rafizi seperti dipetik akhbar South China Morning Post hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena forum Iseas – Institut Yusof Ishak di Singapura.

Untuk rekod bekas ahli parlimen Pandan itu merupakan seorang daripada tokoh yang bertanggungjawab merangka perjanjian di antara Mahathir dan Anwar menjelang pilihan raya umum pada 2018.

Persetujuan itu dicapai dalam usaha pembangkang – pada waktu itu – untuk menyingkirkan BN dari Putrajaya.

Sebelum persefahamam dicapai, sejarah yang panjang menyaksikan Mahathir dan Anwar sebagai seteru ketat. Mahathir ialah pengerusi Bersatu – iaitu salah satu parti komponen PH – manakala Anwar ialah presiden PKR.

Pada masa sama Mahathir juga menduduki jawatan pengerusi PH.

Kata Rafizi, isu peralihan jawatan perdana menteri pada akhirnya akan dimuktamadkan oleh Majlis Presiden PH – yang turut dianggotai Anwar serta Mahathir.

Kata Rafizi – yang dilihat menjadi antara penyokong Anwar – beliau adalah antara orang yang bertanggungjawab merangka perjanjian peralihan kuasa yang ditandatangani pada 7 Jan 2018.

Menurutnya, perjanjian itu memang tidak menyatakan secara jelas tarikh penyerahan kuasa daripada Mahathir kepada Anwar.

Namun katanya, disebabkan Mahathir yang memberi bayangan peralihan itu akan berlaku dalam tempoh dua tahun selepas beliau dilantik sebagai perdana menteri, ramai yang yakin proses tersebut akan berlaku pada Mei tahun ini.

Pada masa sama, Mahathir memang tidak menyatakan secara muktamad tarikh beliau akan berundur, namun berkali-kali menegaskan janji tersebut akan ditunaikan seperti yang dipersetujui PH.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, beliau tidak yakin ada mana-mana pihak sanggup mengambil tindakan nekad bagi memaksa agar peralihan kuasa itu berlaku tahun ini kerana mereka enggan mengeruhkan keadaan

Rafizi hari ini berkata beliau tidak percaya mana-mana pihak akan membuat “percubaan berani” untuk memaksa penggantian tahun ini kerana secara naluriah para peniaga tidak mahu menyulitkan keadaan.

Mengenai peluang Anwar menjadi perdana menteri adalah tidak menentu, Rafizi menegaskan, ahli parlimen Port Dickson itu memiliki sokongan besar dalam kalangan ahli parlimen PKR dan DAP.

Berdasarkan keadaan semasa PKR dan DAP menguasai 92 daripada 222 jumlah keseluruhan kerusi parlimen. Dengan jumlah itu mereka hanya memerlukan 20 kerusi saja lagi bagi mendapatkan majoriti mudah dalam Dewan Rakyat.