MAYAT peniaga wanita dijumpai dalam lubang bawah kontena yang disembunyikan di bengkel lori, dipercayai dibunuh oleh pekerja asing, di Kampung Sri Purnama, 9.30 malam tadi.

Mayat Goh Geok Leng, 43, dijumpai pasukan polis yang menjalankan siasatan selepas pekerja bengkel terbabit hilang daripada tempat kerjanya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais, berkata pekerja mangsa memaklumkan kali terakhir majikannya masih berada di tempat kerja, kira-kira 2 petang semalam.

Katanya, semakan mendapati barang milik majikan masih dalam pejabat, sebelum pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati majikannya pergi ke belakang pejabat sebelum menghilangkan diri.

“Pemeriksaan di belakang premis menjumpai kasut milik mangsa menyebabkan pekerjanya mengesyaki majikannya diculik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shahurinain berkata, hasil siasatan yang dijalankan, pihaknya menahan dua lelaki warga Myanmar berusia 20 dan 39 tahun selepas dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek dimohon reman pada hari ini di Mahkamah Johor Bahru untuk siasatan.

“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, untuk bedah siasat.

“Sehingga kini polis masih mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas,” katanya.

Shahurinain berkata, lokasi kejadian terletak di belakang pejabat premis terbabit yang menempatkan tempat tinggal pekerja – hmetro