CHUKAI: Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini, membenarkan pemilik syarikat pembekalan peralatan perkakasan dan jentera direman lima hari sehingga Ahad ini.

Ini bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat satu kes yang dikaitkan dengan perbuatan memberi rasuah sebanyak RM27,500 kepada pengurus Ladang Tabung Tentera Terengganu.

Suspek berusia 36 tahun itu dikatakan memberi suapan kepada pengurus terbabit sebagai dorongan untuk meneruskan kerja-kerja pembekalan peralatan perkakasan dan jentera kepada ladang berkenaan, antara Julai hingga Disember 2015.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Masni Hajar Ghazali bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Suspek ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Kemaman, jam 5.40 petang semalam. Suspek kemudian dibawa ke Pejabat SPRM Cawangan Kemaman untuk siasatan lanjut sebaik perintah reman diperoleh – berita harian