KUALA LUMPUR 16 Nov. – Petronas Dagangan Bhd. (PDB) kini menawarkan tiga kali mata ganjaran bagi setiap satu liter bahan api Petronas bagi pemegang Kad Mesra.

Ketua Pemasaran Perniagaan Runcit PDB, Abang Jimmy Abang Mordian berkata, struktur baharu mata ganjaran itu akan memberikan lebih nilai kepada pengguna.

Beliau berkata, sebagai contoh, pemegang Kad Mesra akan menerima 675 mata ganjaran atau RM6.75 bagi setiap 225 liter bahan api berbanding hanya 450 mata ganjaran atau RM5 yang ditawarkan peruncit lain.

“Struktur baharu mata ganjaran ini juga sah bagi semua jenis bahan api termasuk Petronas Primax 95 dan 97, Dynamic Diesel Euro 2 dan Euro 5,” katanya pada majlis pelancaran mata ganjaran baharu Kad Mesra Petronas di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE